'Saya akan bertanding sehingga jadi juara dunia pertama dari Malaysia'

'Saya akan bertanding sehingga jadi juara dunia pertama dari Malaysia'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengalaman dan tidak mudah putus asa menjadi kunci kejayaan Mas Mahathir Mohamad mengharumkan nama negara selepas menduduki tempat kedua dalam Pertandingan Pengucapan Awam Dunia di Pusat Konvensyen Pennsylvania dekat Philadelphia, Amerika Syarikat (AS) pada 23 Ogos lalu.

Kejayaan itu melayakkan Mas Mahathir, 32, membawa pulang piala dan sijil sekali gus memperbaiki kedudukannya yang merangkul tempat ketiga dalam pertandingan sama pada 2022.

Berkongsi perasaannya, Mas Mahathir yang juga pemilik syarikat pengucapan awam, MicFront Public Speaking bersyukur kerana dapat beraksi di pentas akhir buat kali kedua selepas aktif menyertai pertandingan itu sejak 2017.

“Berada di pentas dunia adalah satu pengalaman yang sungguh mendebarkan, penuh keterujaan dan pada masa sama menguji mental.

“Bukan saja kerana perlu berucap di hadapan lebih 1,000 penonton tapi sebab saya mahu sampaikan ucapan terbaik yang sudah disiapkan.

“Untuk peringkat akhir tahun ini, saya menyampaikan ucapan mengenai individu pertama yang menunjukkan kebaikan, kerana saya percaya dalam dunia kita hari ini, ramai yang menunggu, melihat sekeliling, dan berharap orang lain bertindak. Tapi hakikatnya, jika kita yang memulakannya, orang lain akan mengikutinya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurutnya, dia mengambil masa kira-kira satu hingga dua tahun untuk membuat persiapan bagi memastikan ucapan disampaikan benar-benar berkualiti untuk dibawa ke pentas dunia.

Biarpun sudah biasa berucap di depan orang ramai, Mas Mahathir mengakui masih ada perasaan gementar terutama dalam pertandingan.

Bagaimanapun, Mas Mahathir lakukan yang terbaik untuk bersaing kerana hanya lapan saja yang berpeluang mara ke pusingan akhir daripada 30,000 peserta mewakili 144 negara pada peringkat awal.

“Saya mula bertanding sejak 2017 namun rasa gementar itu tetap ada. Tapi pengalaman banyak membantu saya mengawal gemuruh ketika bertanding di pentas besar ini.

“Saya sangat teruja untuk berkongsi mesej dengan dunia dan sejak meraih tempat ketiga pada 2022, matlamat saya hanyalah untuk terus memperbaiki diri.

“Semua peserta yang bertanding sangat hebat dan satu pengalaman berharga dapat berkongsi pentas dengan mereka cuma tahun ini, rezeki saya hanya dapat tempat kedua dan sangat bersyukur atas pencapaian ini,” katanya.

Mas Mahathir berkata, dia tidak mungkin sampai ke tahap sekarang tanpa sokongan keluarga, isteri, Dr Jolynn Ch’ng Hui Lin, 35, dan semua rakan kelab pengucapan awam yang banyak memberi semangat, inspirasi serta motivasi untuk membawa nama negara ke pentas dunia.

“Jika seseorang memenangi gelaran juara dunia nombor satu, dia tidak lagi boleh bertanding kerana itulah peraturannya.

“Tapi kerana mendapat tempat kedua, saya ada peluang mengambil bahagian dan perancangan saya adalah terus bertanding sehingga menjadi Juara Dunia Pertama Malaysia dalam seni pengucapan awam sekali gus mengangkat nama negara kita ke mata dunia.

Motivasi saya sentiasa untuk membanggakan bukan saja keluarga, tetapi juga negara tercinta, Malaysia.

“Bagi saya, Malaysia ada ramai bakat hebat cuma saya percaya mungkin mereka belum mendapat cukup perhatian hingga ada yang tak nampak betapa luar biasanya rakyat kita. Jadi, harapan dan impian saya adalah untuk terus memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia berani mencapai impian,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top