Tidak terburu-buru jatuh hukum kafir, tabdi'

Tidak terburu-buru jatuh hukum kafir, tabdi'

Pada minggu lalu, penulis sudah membincangkan tentang isu akidah khususnya membabitkan tentang perkara furuk serta adab mendepani perkara berkenaan.

Minggu ini, kita akan meneruskan perbincangan dengan menelusuri fakta serta dalil tatkala berdepan dengan isu ini.

Dalam menyingkapi khilaf ulama dalam masalah furuk akidah, ulama Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) menggariskan beberapa perkara yang tidak boleh terburu-buru iaitu takfir (pengkafiran), tafsiq (menghukum fasik) dan tabdi’ (membidaahkan). Dalam banyak isu yang menjadi khilaf antara ulama ASWJ dan 72 firqah yang lain, kita tidak mengkafirkan mereka secara pukal. Mereka bercanggah dengan kita dalam Usul ASWJ namun, pada Usul Aqaid mereka mengimaninya. Sebagai contoh, ASWJ menyabitkan sifat Ma’ani bagi Allah seperti Qudrah, namun Muktazilah menafikan Allah mempunyai sifat Qudrah. Dalam isu ini, tidak boleh dikafirkan Muktazilah hanya semata-mata mereka menafikan sifat Qudrah kerana mereka tidak menyabitkan sifat lawannya iaitu sifat lemah. Muktazilah beriman Allah itu Al-Qadir yang Maha Berkuasa dengan zat-Nya. Mereka sekadar menafikan sifat Ma’ani sahaja. Namun pengertian sifat Ma’ani itu mereka mengimaninya dengan kefahaman Allah berkehendak dengan zat-Nya, melihat dengan zat-Nya, mendengar dengan zat-Nya dan begitu seterusnya.

Jelaslah bahawa, golongan-golongan yang menyimpang daripada Usul ASWJ tidak boleh dihukum kafir dengan mudah, kerana mereka masih ahli qiblat. Para ulama ASWJ berpegang dengan kaedah yang disebutkan oleh Imam al-Ghazali:”Jangan menjatuhkan hukum kamu ke atas ahli qiblat dengan hukum kesyirikan, kekufuran atau nifaq kerana yang mengetahui apa yang jelas dalam hati mereka ialah Allah taala sahaja.” (Bidayah al-Hidayah)

Istilah ahli qiblat adalah merujuk kepada seseorang yang masih lagi Islam, mengucap dua kalimah syahadah dan mendirikan solat dengan qiblat yang sama dengan kita. Istilah ini diambil daripada hadis: “Barangsiapa yang solat seperti solat kami, menghadap kiblat kami dan memakan sembelihan kami, maka dia adalah Muslim yang mendapat perlindungan Allah dan rasul-Nya. Dan janganlah kamu mengkhianati perlindungan Allah.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Berdasarkan hadis ini, jelas Rasulullah menyebutkan ciri-ciri Muslim yang mendapat perlindungan daripada Allah iaitu orang yang solat sama seperti kita, menghadap kiblat yang sama dengan kita dan memakan sembelihan kita maka itu menunjukkan dia seorang Muslim. Maka orang yang Muslim atau ahli qiblat tidak boleh dikafirkan seperti sabda Nabi: “Sesiapa yang mengatakan kepada saudaranya, wahai kafir. Maka jatuhlah (kafir itu) ke atas salah seorang daripadanya.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Oleh yang demikian, di antara adab dalam menyingkapi perkara furuk akidah ialah tidak bermudah dalam mengkafirkan orang yang tidak sealiran dengan kita. Sikap yang mudah mengkafirkan orang lain bukan sikap ASWJ, ia adalah sinonim dengan ajaran bukan ASWJ seperti Khawarij yang mudah mengkafirkan pelaku dosa besar dan syiah yang cukup mudah mengkafirkan orang yang tidak mengimani Imam 12. Sedangkan manhaj ASWJ ialah seperti yang dikatakan oleh Imam Ibnu Furak yang dinukilkan oleh Imam Zarruq: “Tersilap memasukkan seribu orang kafir dengan syubhat Islam lebih baik berbanding tersilap mengeluarkan (mengkafirkan) seorang Islam dengan syubhat kekufuran.” (Qawa’id al-Tasawwuf, hal. 31)

Mengeluarkan orang Islam daripada sempadan keislaman adalah suatu perkara yang berat di sisi agama. Oleh yang demikian, Nabi begitu marah apabila ada sahabat membunuh seorang yang telah mengucap dua kalimah syahadah dalam peperangan kerana sekali dia mengucap dua kalimah syahadah maka dia mendapat perlindungan Allah dan rasul-Nya.

Terdapat beberapa isu yang dihukum kafir bagi orang berkeyakinan begitu, namun jika masih khilaf ulama dalam pengkafirannya maka hendaklah kita bersama dengan ulama yang tidak mengkafirkannya. Sebagai contoh, dalam suatu kitab jawi yang masyhur menyebutkan: “(Kata Imam Fakhr al-Din al-Razi) Yang Mujassimah itu Mushabbihah, dan Mushabbihah itu kafir…” (Tuhfah al-Raghibin Li Arsyad al-Banjari, hal.17)

Manakala pada pandangan Imam al-Rafi’e dalam kitabnya al-Shahadat: “Kita tidak mengkafirkan mereka (golongan mujassimah)”

Kedua-dua kenyataan ulama ASWJ ini dilihat berbeza di antara satu sama lain. Satu pihak mengkafirkan Mujassimah dan satu pihak lagi tidak mengkafirkannya. Khilaf ini juga termasuk perkara furuk kerana dalam menentukan hukum ke atas Mujassimah mereka juga mempunyai beberapa pandangan berbeza. Dalam hal ini, ulama ASWJ mengambil pendekatan sama seperti yang disebutkan oleh Imam Ibnu ‘Abidin: “Apa yang disebutkan dalam kitab Jami’ al-Fusulayn dan al-Fatawa al-Sughra: Kufur itu suatu perkara yang besar. Maka aku tidak menghukum seorang mukmin sebagai kafir apabila aku menjumpai satu riwayat bahawa dia tidak kafir.”

Disebutkan dalam kitab al-Khulasah dan selainnya: Jika dalam suatu masalah itu terdapat wujuh (pendapat-pendapat) yang mewajibkan pengkafirannya dan terdapat satu sahaja wajh (pendapat) yang menghalangnya, maka mufti wajib cenderung kepada pendapat yang menghalang pengkafirannya kerana bersangka baik terhadap Muslim.” (Radd al-Muhtar)

Kesimpulannya, perkara yang menjadi usul agama maka hendaklah kita pertahan sekuat-kuatnya. Jika ada yang menyalahinya hendaklah kita berusaha untuk membetulkan kesalahannya. Elakkan terus menghukum kafir kepada saudara seislam, kerana urusan menjatuhkan hukum adalah urusan hakim yang telah dilantik oleh pemerintah. Demikian juga berkaitan perkara usul ASWJ, jika ada yang menyalahinya maka ia menyebabkan ia terkeluar daripada manhaj Ahli Sunah Waljamaah namun tidak sampai pada tahap kita hendak mengkafirkan mereka.

Paling tidak para ulama menghukumkan mereka sesat, mubtadi atau fasik, tetapi masih dianggap Muslim kerana mereka merupakan ahli qiblat. Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak akan sesekali mengkafirkan ahli qiblat kerana ia ditegah oleh Nabi shalallahu alaihi wasallam. Sekalipun ada ulama yang mengkafirkan sebahagian golongan sesat, namun apabila ada ulama yang tidak mengkafirkannya maka hendaklah kita cenderung kepada pandangan ulama yang tidak mengkafirkannya.

Justeru, dengan kita mengamalkan adab-adab ini dalam berhadapan dengan isu furuk akidah, negara kita akan harmoni daripada pergaduhan, persengketaan dan pengkafiran. Semoga Allah memberikan hidayah untuk kita sentiasa melihat yang benar itu adalah kebenaran.

Penulis Pengurus Pusat Kajian Syariah Darul Fitri

Ā© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top