rnoraina@hmetro.com.my
Putrajaya: Sebanyak 16 daripada 60 substrategi di bawah Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028 berjaya dicapai oleh 11 kementerian dan agensi termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak ia dilancarkan Mei tahun lalu.
Antara agensi yang mencapai kejayaan itu adalah Kementerian Dalam Negeri; Kementerian Pendidikan; Kementerian Pendidikan Tinggi; Kementerian Komunikasi; Kementerian Kewangan (MOF); Jabatan Perkhidmatan Awam; Jabatan Audit Negara; Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta SPRM.
Lima substrategi berjaya dilaksanakan tahun lalu dan 11 substrategi dilaksanakan tahun ini (setakat Ogos), membuktikan komitmen serta kecekapan agensi terbabit dalam melaksanakan peranan masing-masing.
Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata, cabaran utama bukan lagi sekadar menggubal strategi, tetapi memastikan ia diterjemah dalam tindakan di lapangan.
Berikutan itu, beliau berkata, SPRM telah membangunkan dua dashboard bagi memantau proses pelaksanaan dan pencapaian yang diperoleh setiap agensi.
Menurutnya, sistem berkenaan adalah r-NACS yang bertujuan memantau pelaksanaan strategi empat kali setahun bersama agensi yang terlibat dan d-NACS sebagai tatapan umum bagi substrategi yang sudah selesai.
“Pencapaian NACS berupaya menyumbang kepada kejayaan Malaysia meningkatkan prestasi dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) untuk meletakkan negara di tangga ke-25 teratas pada 2033.
“Hala tuju NACS juga selaras komitmen ditunjukkan Ketua Setiausaha Negara sendiri yang memantau pelaksanaan inisiatif pembaharuan sektor awam antaranya menubuhkan Pasukan Petugas Khas CPI yang berperanan menggerakkan pelaksanaan strategi pemantapan tatakelola dan antirasuah di semua peringkat,” katanya dalam wawancara khas bersama media di Ibu Pejabat SPRM di sini, baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Azam berkata, pasukan petugas khas yang ditubuhkan itu sedang meneliti sembilan tinjauan antarabangsa yang digunakan dalam penilaian CPI.
Kata beliau, pasukan itu turut mempunyai enam kumpulan fokus yang diterajui Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC), MOF, Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri serta Kementerian Komunikasi.
Selain menganalisis dapatan tinjauan CPI, katanya, kumpulan itu juga akan menerajui sesi libat urus bersama pemegang taruh, mengenal pasti isu dan mencadangkan langkah penyelesaian seterusnya melaporkan status hasil tindakan kumpulan secara berkala kepada Pasukan Petugas Khas CPI serta Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN).
Sementara itu, ditanya sama ada digitalisasi berupaya membanteras rasuah, beliau mengakuinya kerana ia secara tidak langsung mampu mengurangkan ruang campur tangan manusia yang sering menjadi punca utama kepada amalan rasuah, salah guna kuasa serta ketirisan.
“Malah, SPRM sendiri mengaplikasikan pelbagai sistem digitalisasi dan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam usaha mempertingkatkan kecekapan pelaksanaan tugas serta fungsi di peringkat dalaman organisasi.
“Kami turut sedang meneroka penggunaan analitik data raya dan AI sebagai alat pengesanan awal bagi mengenal pasti corak perbelanjaan luar biasa atau kelulusan projek yang mencurigakan,” katanya.
Bagaimanapun, Azam berkata, semua pihak perlu bersiap siaga dengan ancaman AI supaya mendatangkan kebaikan dan pada masa sama mendidik rakyat untuk memanfaatkan teknologi itu dalam tugasan harian.
Jelasnya, fokus kini tidak hanya kepada potensi AI sebaliknya risiko penyalahgunaan termasuk penyebaran maklumat palsu, manipulasi data dan keputusan automatik tidak telus yang menjadi isu global semakin mendesak.
Beliau berkata, kerajaan sudah mengambil langkah awal untuk memastikan penggunaan AI dalam sistem pentadbiran awam berlandaskan prinsip integriti, ketelusan dan akauntabiliti dengan memperkenalkan dasar atau akta berkaitan.
“Keyakinan rakyat kepada kerajaan tidak dibina dalam sehari sebaliknya terbentuk melalui konsistensi tindakan dan ketelusan pelaksanaan.
“Antara objektif NACS adalah menangani persepsi awam terhadap ketelusan dan integriti institusi negara. Pendekatan yang digariskan bukan sekadar bertujuan membanteras rasuah, tetapi juga mewujudkan sistem pentadbiran diyakini rakyat melalui pemantauan terbuka, pembabitan masyarakat dan penguatkuasaan yang konsisten.
“Semakin rakyat tahu apa yang kita laksanakan, saya percaya keyakinan masyarakat akan meningkat,” katanya.
Katanya, NACS adalah komitmen strategik kerajaan untuk membuktikan bahawa reformasi integriti bukan sekadar slogan, namun kesan dirasai rakyat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




