Persembahan Djokovic 'berkarat'

Persembahan Djokovic 'berkarat'

New York: Novak Djokovic tewas set pertama dan bergelut dengan rentak permainan namun masih berjaya mara ke pusingan kedua Terbuka Amerika Syarikat (AS) menentang pemain kelayakan Zachary Svajda, awal pagi tadi.

Selepas melakukan 14 kesilapan dalam set pertama yang berlangsung selama sejam, pemain berusia 38 tahun itu bangkit memenangi tiga set terakhir menentang Svajda dari AS, yang kelihatan bergelut dengan kekejangan otot pada separuh kedua perlawanan dan beberapa kali memanggil jurulatih fisioterapi ketika waktu rehat.

“Tahniah kepadanya kerana terus bertahan di atas gelanggang,” kata Djokovic selepas perlawanan.

Djokovic yang juga pilihan ketujuh kejohanan, mengambil kesempatan atas masalah fizikal dialami Svajda, memenangi lapan permainan berturut-turut untuk mendahului 3-0 dalam set keempat sebelum menamatkan perlawanan dengan keputusan akhir 6-7 (5), 6-3, 6-3, 6-1.

Kemenangan itu memberi Djokovic rekod 54 kemenangan dan 45 kekalahan dalam kejohanan Grand Slam selepas tewas set pertama, rekod terbaik dalam Era Terbuka bagi mana-mana pemain lelaki.

Beliau kini mara ke pusingan ketiga Terbuka AS buat kali ke-19 dalam kariernya, satu rekod yang kini dikongsi bersama Roger Federer. Djokovic juga belum pernah tewas dalam dua pusingan awal di kejohanan ini sepanjang penyertaannya.

Namun, apabila ditanya mengenai prestasi tenisnya selepas perlawanan, bintang Serbia yang memenangi 24 gelaran Grand Slam, tidak terlalu gembira dengan persembahannya.

“Sejujurnya, tidak begitu baik,” kata Djokovic.”Saya tidak begitu gembira dengan permainan saya pada permulaan perlawanan, tetapi saya juga harus beri pujian kepada Zach kerana bermain tenis yang sangat berkualiti.

“Sayangnya, dia mengalami kecederaan pada penghujung set kedua, tetapi saya hormat kerana dia tetap bertahan di atas gelanggang. Dia jelas tidak dapat melakukan servis sebaik seperti dalam set pertama dan separuh set kedua, tetapi saya ucapkan yang terbaik buatnya.”

Djokovic akan bertemu pemenang perlawanan antara Cameron Norrie dari Britain dan Francisco Comesana dari Argentina.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top