am@hmetro.com.my
Melaka: “Pemandu itu kata dia elak kucing dan terbabas merempuh pagar rumah, tapi bila tengok rakaman CCTV (kamera litar tertutup) tidak nampak apa-apa haiwan melintas,” kata Dr S Jiva, 43, selepas sebuah Proton Saga merempuh tembok dan pagar besi rumahnya di Bukit Senjuang, di sini, pagi semalam.
Menurutnya, kejadian berlaku jam 5.30 pagi menyebabkan tembok dan pagar besi runtuh hingga merosakkan Toyota Camry dan Perodua Myvi diparkir di garaj rumah.
Katanya, kejadian disedari ibunya, S Manickavally, 70, yang terdengar bunyi dentuman kuat dari arah hadapan rumah.
“Sebaik buka pintu, dia terkejut melihat pagar rumah runtuh dilanggar sebuah kereta yang terperosok di tepi.
“Bampar dan cermin belakang Toyota Camry kemek manakala Myvi kemek bampar dan pecah cermin belakang,” katanya ditemui di rumahnya.
Menurutnya, akhir tahun lalu jiran di hadapan dan di sebelah rumah mereka turut mengalami kejadian sama akibat tembok dan pagar rumah dirempuh kenderaan yang terbabas di laluan itu.
Susulan kejadian itu, ibunya membuat laporan polis bagi menuntut ganti rugi daripada pemandu Proton Saga atas kerugian dialami dan kos bagi membaik pulih.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, siasatan awal mendapati Proton Saga itu dipandu pelajar lelaki berusia 19 tahun dan dalam perjalanan dari Kampung Portugis menghala ke Bukit Katil.
“Kenderaan itu dipercayai hilang kawalan dan melanggar tembok rumah hingga remuk teruk di bahagian hadapan.
“Pemandu mengalami kecederaan di tangan serta sakit di bahagian dada. Dia mendapatkan rawatan di sebuah hospital swasta,” katanya.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan mengikut Peraturan 10 LN 166/59 Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



