syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: “Saya tak sempat cakap apa-apa, tiba-tiba suami koma dan sejak itu, suami hanya celik mata tanpa sebarang reaksi,” kata Nurul Azhar, 30.
Suaminya, Shahril Ekwan Masdi, 32, disahkan menghidap kencing tikus tahap kritikal pada 20 November 2024 sebelum koma hingga kini.
Kata Nurul, terdahulu, suaminya yang berasal dari Kuala Krai, Kelantan, demam berpanjangan namun enggan ke hospital.
“Apabila keadaan suami semakin teruk, mata merah, saya bawa dia ke klinik kesihatan sebelum doktor sahkan suami menghidap kencing tikus tahap kritikal,” katanya.
Shahril Ekwan kemudian dirujuk ke Hospital Kuala Krai sebelum dipindahkan ke Hospital Kota Bharu selepas dua hari mendapatkan rawatan.
“Saya masih ingat, ketika mendaftar masuk suami ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada petang 20 November, dalam perjalanan, suami kelihatan letih.
“Selepas mendaftarkan suami, saya pergi mendapatkan suami sebelum mendapati doktor kelihatan tergesa-gesa. Kira-kira 15 minit kemudian, doktor maklumkan suami terkena sawan.
“Selepas itu, suami disahkan koma. Semuanya berlaku sekelip mata, saya juga tidak sempat bercakap dengan suami,” katanya.
Menurut Nurul, sejak itu, suaminya hanya mampu membuka mata namun tidak memberi sebarang tindak balas walaupun dia dan empat anak mereka terus bercakap dengannya setiap hari.
“Dia cuma gerak kepala dan ada kalanya tangan. Itu sudah cukup buat kami bersyukur dan gembira,” katanya.
Menurut Nurul, doktor memaklumkan, tiada perubahan besar membabitkan keadaan suaminya.
Buat masa ini, Nurul menjaga suaminya sepenuh masa dibantu kedua-dua ibu bapanya selain menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
“Cabaran paling besar adalah urus anak, jaga suami dan kuatkan diri setiap hari walaupun pernah rasa hampir putus asa.
“Sebagai isteri, saya sentiasa berdoa dan berharap suami pulih,” katanya.
“Saya akan terus kuat demi suami dan anak-anak. Kalau saya tidak kuat, siapa hendak jaga mereka,” katanya sebak.
© New Straits Times Press (M) Bhd