Edar pil kuda, 2 bekas anggota bomba dipenjara 30 tahun dan 12 sebatan

Edar pil kuda, 2 bekas anggota bomba dipenjara 30 tahun dan 12 sebatan

am@hmetro.com.my

Kuala Terengganu: Dua bekas anggota bomba dihukum penjara 30 tahun dan 12 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah lebih 118 gram di Setiu, empat tahun lalu.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani menjatuhkan hukuman itu terhadap Muhammad Hafiq Haikal Che Kamarudin, 27, dan Muhammad Amillah Mat Ripin, 30, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama mengedar dadah berbahaya jenis methamphetamine seberat 118.41 gram di dalam kenderaan ketika melalui sekatan jalan raya di Kuala Setiu pada 9 pagi, 13 Julai 2021.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama.

Mahkamah memerintahkan hukuman penjara terhadap kedua-dua tertuduh berkuat kuasa dari tarikh mereka ditangkap iaitu pada 13 Julai 2021.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Amer Abu Bakar Abdullah dan Noradila Ab Latif, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, Datuk Abu Bakar Isa Ramat.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top