am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Mahasiswa menyifatkan inisiatif Baucar Buku MADANI bernilai RM100 yang mula dilaksanakan hari ini, sangat membantu kerana meringankan beban mendapatkan bahan bacaan tambahan.
Penuntut Sarjana Muda Komunikasi Media Baharu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Nur Suhailah Jamin, 23, berkata, usaha kerajaan itu sangat membantu mahasiswa mendapatkan bahan bacaan tambahan.
“Saya tahu pasal baucar ini sebab banyak maklumat di media sosial termasuk daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan agensi media lain.
“Saya tak sabar membeli buku seperti novel atau buku rujukan pelajaran dengan menggunakan baucar ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, baucar itu membuka peluang dia membeli buku yang sebelum ini tidak dapat dimiliki kerana perlu mendahulukan perbelanjaan lain.
“Saya sangat bersyukur di atas pemberian baucar ini, khususnya buat pelajar yang kurang berkemampuan seperti saya kerana dapat membeli bahan bacaan tambahan selain daripada nota dan latihan diberikan pensyarah.
“Sekiranya nilai baucar ditambah kepada RM150 atau RM200, manfaatnya pasti lebih besar kepada pelajar,” katanya.
Bermula hari ini, golongan mahasiswa boleh menebus baucar buku sebanyak RM100 menerusi inisiatif Baucar Buku MADANI.
Inisiatif itu dijangka memanfaatkan kira-kira 500,000 pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT) termasuk universiti awam, politeknik, kolej komuniti dan IPT swasta.
Pelajar Pengajian Bahasa Melayu Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Nur Nisha Anis Mohd Ghazali, 21, berkata, inisiatif itu bantuan besar khususnya kepada mahasiswa kurang berkemampuan.
“Inisiatif ini banyak membantu saya sebagai mahasiswa. Dengan adanya baucar buku, beban kewangan membeli buku rujukan dapat dikurangkan.
“Kadang-kadang terasa berat membeli buku akademik kerana harganya agak tinggi, jadi baucar ini sangat meringankan,” katanya.
Menurut pelajar tahun akhir itu, selain buku akademik, dia juga bercadang membeli bahan bacaan lain seperti novel atau buku motivasi sekiranya masih berbaki.
“Bahan bacaan yang lebih santai dapat membantu saya menenangkan fikiran dan mengimbangi kehidupan sebagai pelajar universiti yang sibuk.
“Jadi bukan sahaja untuk pelajaran, malah ia juga memberi manfaat kepada kehidupan harian saya sebagai mahasiswa supaya lebih seimbang dan positif,” katanya.
Sementara itu, pelajar Kejuruteraan Mekanikal Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Muhammad Zuhairi Zulkifli, 23, berharap kerajaan dapat mempertimbangkan tambahan nilai baucar itu di masa depan.
“Inisiatif ini dapat mengurangkan kos perbelanjaan pelajar untuk membeli buku, sekali gus meningkatkan semangat saya untuk belajar.
“Bagaimanapun, jumlah baucar yang diberikan hanya mencukupi untuk tempoh satu semester sahaja kerana setiap semester memerlukan buku rujukan berbeza.
“Jika boleh, nilai baucar ditingkatkan mengikut peringkat pengajian kerana harga buku di universiti lebih mahal berbanding di sekolah. Sekiranya kerajaan konsisten meneruskan inisiatif ini, saya percaya budaya membaca dalam kalangan pelajar akan terus meningkat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd