Pelakon yang juga anggota kumpulan 4U2C iaitu Datuk AC Mizal meluahkan rasa kecewa apabila ada yang mengecam mereka mahu mengadakan ‘WE 4U2C Live In Concert’.
Memetik Astro Gempak, AC berkata susulan komen negatif tersebut sedikit sebanyak menganggu mental ahli kumpulannya sehingga ada yang mengalami tekanan perasaan.
BACA: “Tak Payah Susah-Susah Kutuk, Lepas Ni Dah Tak Ada 4U2C” – AC Mizal
“Saya sedih apabila ramai yang mengecam penganjuran konsert kami, saya sedih sebab komen negatif itu akan dibaca oleh keluarga dan anak-anak ahli 4U2C.
“Ada ahli kami yang sampai depression, ada yang sakit. Sejak awal sidang media pengumuman konsert, kami dah maklumkan, pengajuran konsert ini tujuannya untuk berhibur. Kami juga mahu generasi sekarang lihat yang kumpulan ini pernah wujud di Malaysia,” katanya.
Sementara itu, AC turut hairan mengapa kumpulannya dikecam teruk oleh netizen sedangkan mereka tidak pernah meminta semua orang menyukai kumpulan dan sekadar mahu mencipta kenangan manis bersama peminat.
“Apabila dilemparkan komen tidak sepatutnya, ada anak-anak kami bertanya. Saya rasa cukup lah. Kami tidak minta pun orang di luar sana untuk suka kami, tetapi cukup menghargai dan nikmati satu pengalaman yang akan dicipta.
“Kepada yang tidak suka tidak mengapa, tetapi jangan sampai kecam melampau. Jujur tanya saya, saya sendiri tidak tahu kenapa kami dikecam.
“Bukan lama pun, hanya 2 jam 30 minit sahaja. Selepas itu habislah dan tiada lagi konsert berskala besar 4U2C. Rata-rata umur ahli kami pun dah 50 tahun ke atas hanya minta kalian raikan satu lagi sejarah dalam hidup kami. Kami akan berusaha untuk berikan persembahan yang terbaik,” katanya.
Difahamkan, konsert WE 4U2C Live In Concert bakal berlangsung pada 15 September ini bertempat di Idea Live Arena, Petaling Jaya.
Sumber: Astro Gempak