Kuala Lumpur: Penubuhan Persekutuan Persatuan Fujian ASEAN dan penganjuran kongres sulungnya di ibu negara menandakan pencapaian penting dalam usaha memperkukuh kerjasama ekonomi, sosial dan budaya rantau ini, sekali gus membuka peluang baharu kepada Malaysia sebagai hab kerjasama serantau.
Presiden Persekutuan Persatuan Fujian ASEAN, Tan Sri Lim Hock San berkata, penubuhan persekutuan itu pada November tahun lalu membuka lembaran baharu hubungan masyarakat Fujian di Asia Tenggara yang kini mencecah lebih 30 juta orang atau 60 peratus daripada etnik Cina di rantau ini.
“ASEAN dengan 680 juta penduduk dan keluaran dalam negara kasar (KDNK) lebih AS$4 trilion pada tahun lalu adalah antara rantau paling dinamik.
“Komuniti Fujian memainkan peranan penting dalam perdagangan, kewangan, perkhidmatan serta perkilangan dan melalui platform ini, kami mahu integrasikan sumber serantau serta membuka kerjasama baharu bersama China dan rakan antarabangsa,” katanya pada ucapan di majlis Kongres Fujian ASEAN 2025 yang dirasmikan Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, di sini, semalam.
Kehadiran tokoh utama China termasuk Duta Besar Ouyang Yujing turut menambah nilai kepada kongres yang bertemakan Unlocking Potential.
Lim berkata, China kekal rakan dagang terbesar ASEAN dengan nilai perdagangan dua hala mencecah AS$950 bilion pada tahun lalu, manakala Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) membuka peluang luas dalam infrastruktur, digitalisasi dan pertukaran budaya.
Beliau berkata, ASEAN juga wajar memberi tumpuan kepada kerjasama dengan Jepun, Korea, Kesatuan Eropah, Timur Tengah dan Asia Selatan yang bakal memperkukuh pembangunan rantau ini melalui teknologi tinggi, tenaga hijau, kreativiti budaya dan keusahawanan belia.
Menurutnya, kongres bersejarah itu turut merangsang sektor hospitaliti, makanan dan pengangkutan tempatan serta menonjolkan Malaysia sebagai hab pelancongan serta pusat kerjasama serantau.
© New Straits Times Press (M) Bhd




