harisfadli@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Sebanyak 4.1 juta batang rokok seludup dan 103,407 liter (L) minuman keras pelbagai jenama antara barangan bernilai RM13.2 juta dirampas menerusi Ops Kontraban Mega 1.0 membabitkan 11 negeri pada 26 dan 27 Ogos lalu.
Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam(KDNKA) Gerakan Operasi Bukit Aman Datuk Fisol Salleh berkata, 272 pelbagai jenis premis diperiksa di mana 174 daripadanya didapati melakukan kesalahan.
Menurutnya, operasi itu dijalankan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membabitkan negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Johor, Melaka, Terengganu, Kelantan, Sarawak, Sabah dan juga Wilayah Persekutuan di 31 daerah terbabit.
“Rampasan membabitkan rokok 4.1 juta batang bernilai RM7.79 juta dan rampasan minuman keras sebanyak 103,407 liter bernilai RM4.5 juta dan selain minyak masak, kenderaan, mercun dan telefon berjumlah RM 841,329.
“Tangkapan seramai 195 orang iaitu 127 warga tempatan dan selebihnya 67 warga asing dari Bangladesh, Indonesia, Pakistan, Sri Lanka, India, serta China dan 140 daripadanya direman,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Katanya, kesalahan tertinggi dikesan di Sabah membabitkan 36 premis, Sarawak (29), Terengganu (33), Kedah (23), Melaka (14), Selangor (13), Johor (13), Pulau Pinang (7), Kelantan (1), dan Perak (1).
Fisol berkata, rokok seludup lazimnya tidak dijual secara terbuka manakala minuman keras dirampas kebanyakannya untuk dibekalkan di pusat hiburan.
“Harganya jauh lebih murah berbanding pasaran rokok seludup RM4 – RM10 berbanding harga pasaran RM15 – RM17.
“Inilah yang menyebabkan kerugian hasil negara kerana cukai tidak dikutip, sebab itu kita buat tindakan tegas, reman, kompaun dan pendakwaan bawah pelbagai peruntukan undang-undang.
“Kita juga rampas barangan subsidi seperti minyak masak, dan ini beri impak kepada hasil negara,” katanya.
Sementara itu Fisol berkata, secara keseluruhan, pihaknya merampas pelbagai jenis kontraban bernilai RM232 juta dan menahan 648 individu bermula Januari hingga 27 Ogos.
Katanya, selain PGA operasi terbabit turut dijalankan bersama Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP), Pasukan Polis Marin, kontinjen negeri dan agensi berkaitan.
Menurutnya, kolaborasi antara Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama JKDM penting bagi mengekang ketirisan cukai yang secara langsung memberi kesan kepada ekonomi negara.
Katanya, media juga memainkan peranan penting dalam usaha memupuk kesedaran masyarakat supaya tidak menyokong penjualan seludup.
“Kesimpulannya, operasi besar-besaran ini akan diteruskan, dan setiap hasil akan kita kongsi dengan media. Harap media terus mainkan peranan memberi kesedaran kepada rakyat supaya tidak terjebak membeli barangan seludup.
© New Straits Times Press (M) Bhd



