suliati@hmetro.com.my
Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) mencatat satu lagi pencapaian penting apabila tampil bersama enam usahawan bimbingannya di K-Halal Festa (Korea Halal Festival) yang berlangsung di COEX Magok, Seoul, Korea sehingga 31 Ogos ini.
Enam usahawan menyertai deligasi LPNM diketuai Ary Putra Tajuddin dengan pegawai LPNM Izwan Azrien Rosli itu ialah Ensu Lifesciences Sdn Bhd yang menampilkan kosmetik berasaskan bromelain; Big Power dengan rangkaian minuman kesihatan berasaskan nanas; FGV Laka Selatan 02 dan JTW Resources Sdn Bhd yang memfokuskan bekalan dan eksport buah nanas MD2; Ori MyFruits dengan produk makanan kesihatan berasaskan nanas; serta Samza’s Plus melalui formulasi power booster berasaskan nanas.
Penyertaan pelbagai segmen ini menggambarkan kekuatan rantaian nilai industri nanas Malaysia merangkumi produk segar dan hiliran bernilai tambah yang memenuhi citarasa pengguna moden dan piawaian halal antarabangsa.
Festival ini turut menghimpunkan pelbagai usahawan dari negara-negara serantau dan antarabangsa termasuk Indonesia, Jepun, Brunei, Filipina dan lain-lain.
Ia sekali gus mewujudkan ekosistem jaringan rentas negara yang dinamik untuk perkongsian kepakaran, padanan perniagaan dan peluang kolaborasi baharu.
Ary Putra berkata penyertaan itu menunjukkan keupayaan industri nanas Malaysia untuk bersaing melalui kualiti, inovasi dan pematuhan halal yang diyakini.
“LPNM komited memacu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menembusi pasaran premium dan mewujudkan peluang eksport yang mampan,” katanya.
Sepanjang festival yang berlangsung selama tiga hari, LPNM memfokuskan peluasan rangkaian perniagaan dengan pengimport, pasar raya premium, HORECA, farmasi serta peruncit kecantikan dan platform e-dagang Korea melalui sesi padanan B2B dan B2C, demonstrasi produk, sesi merasa (tasting) MD2 segar dan minuman berfungsi, di samping libat urus teknikal mengenai standard halal, pelabelan dwibahasa dan pematuhan peraturan tempatan.
Menurut Ary Putra pendekatan bersepadu itu membantu usahawan meningkatkan kesiapsiagaan eksport merangkumi pembungkusan, dokumentasi, rantaian sejuk dan konsolidasi logistik bagi mengekalkan mutu produk sehingga ke pengguna akhir.
“Dengan penyertaan pelbagai delegasi antarabangsa, usahawan bimbingan LPNM turut mendapat pendedahan terbaik terhadap trend global, penanda aras kualiti serta model perniagaan inovatif yang boleh diterapkan dalam pasaran serantau,” katanya.
Selain itu, manfaat strategik pembabitan pada festival ini juga merentasi beberapa dimensi yang saling melengkapi.
Kata Ary Putra, dari sudut pasaran, ia memanfaatkan reputasi pensijilan halal Malaysia untuk menembusi segmen pengguna Korea yang menuntut kualiti, keselamatan dan ketelusan rantaian bekalan, di samping membuka laluan kolaborasi eksport bersama rakan kongsi serantau.
“Dari sudut nilai tambah, pengkomersialan komponen nanas seperti bromelain meningkatkan margin, memanjangkan kitar hayat hasil tani dan mengurangkan pembaziran, sejajar dengan agenda kelestarian dan ekonomi beredar.
“Manakala dari sudut daya saing, penceritaan jenama “MD2 Premium Malaysia” yang menekankan kualiti tropika dan sains nutrisi membantu memposisikan produk di segmen premium.
“Akhir sekali dari sudut pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), bimbingan pasaran dan pematuhan yang diselaras LPNM memperkukuh keupayaan usahawan untuk menembusi pasaran antarabangsa secara mampan,” katanya.
Sementara itu, wakil usahawan berkata Korea ialah pasaran dinamik untuk produk kesihatan dan kecantikan.
“Dengan sokongan LPNM, ia memudahkan mereka memenuhi standard, mengukuhkan pembungkusan dan pelabelan, serta mempercepatkan akses rangkaian pengedaran.
Melalui penyertaan ini juga, LPNM menyasarkan prospek kontrak eksport bagi nanas MD2 segar dan produk hiliran, perintis kerjasama pemasaran dengan rakan runcit serta e-dagang Korea.
Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) ialah agensi peneraju yang memartabatkan industri nanas negara dari huluan ke hiliran melalui program bimbingan usahawan, penyelidikan, pemerkasaan pasaran dan pematuhan standard.
© New Straits Times Press (M) Bhd




