am@hmetro.com.my
AHLI Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memaklumkan setiap tawaran sama ada sebagai duta produk atau penampilan khas bukan untuk keuntungan peribadi sebaliknya 100 peratus bayaran akan disalurkan terus ke akaun rasmi Pusat Khidmat Parlimen Muar.
Syed Saddiq berkata, bayaran terbaharu RM15,000 yang diterima ketika membuat penampilan khas pada majlis pengumuman sijil halal restoran Thong Bowl turut digunakan untuk membantu mangsa ribut di Muar.
Katanya, langkah itu adalah cara terbaik memastikan setiap peluang yang diterima memberi manfaat terus kepada rakyat terutama ketika ramai memerlukan bantuan segera.
“Insya-Allah, saya akan berkolaborasi bersama empat jenama lagi selepas ini.
“Setakat ini, saya sudah berjaya mengumpul lebih RM2 juta sejak Disember lalu hasil kerjasama dengan pelbagai jenama, sekali gus disalurkan sepenuhnya untuk manfaat penduduk di kawasan.
“Saya juga menjangkakan jumlah itu boleh mencecah antara RM2.5 juta hingga RM3 juta menjelang akhir tahun ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media pengumuman pencapaian Thong Bowl dalam ASEAN Book of Records sebagai pengiktirafan pencapaian luar biasa dalam industri makanan halal, baru-baru ini.
Turut hadir, penyanyi dan pelakon, Bella Astillah.
Mengenai kerjasama dengan Bella pula, kata Syed Saddiq, dia mengakui selesa bekerjasama dengannya dalam menjayakan pelbagai acara membabitkan kempen dan penajaan.
“Saya sangat selesa bekerja dengan Bella kerana kami sudah kenal bukan setahun atau dua tahun.
“Saya juga anggap Bella sebagai wanita besi yang sangat bekerja keras,” katanya.
Sementara itu, Bella mengakui teruja apabila berpeluang terbabit dengan beberapa kempen restoran Thong Bowl yang sudah mendapat sijil halal di cawangan IOI City Mall, Putrajaya.
“Seperti kita tahu, sijil halal sangat penting terutama untuk mereka yang memang suka menikmati pelbagai jenis makanan.
“Jadi saya memang bangga bila restoran ini dapat sijil halal,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




