Keaiban di Grimsby tambah tekanan buat Amorim

Keaiban di Grimsby tambah tekanan buat Amorim

Walaupun kecewa dan terkejut, saya boleh memaafkan serta menyejukkan hati apabila Manchester United kecundang 0-1 di tangan Asean All Stars di depan mata pada 28 Mei lalu.

Apa tidaknya, perlawanan pasca musim bagi merebut Piala Cabaran Maybank di Stadium Nasional, Bukit Jalil (SNBJ) itu dianggap hanya aksi pertunjukan selepas menamatkan musim yang panjang.

Ada beberapa sebab lain seperti keletihan kerana selepas menang 2-0 ke atas Aston Villa di Old Trafford dalam aksi terakhir musim 2024/45 pada Ahad (25 Mei), pemain dan pegawai United terus menaiki pesawat selama 13 jam dan tiba di Kuala Lumpur pada petang Isnin.

Selasa pula mereka sibuk dengan pelbagai aktiviti termasuk memenuhi tuntutan penaja bertemu peminat serta sidang media dan sebagainya.

Pada malamnya, pemain United mengadakan latihan rasmi di SNBJ dan saya turut hadir menyaksikan detik keemasan itu.

Dalam keadaan kekurangan rehat dan cuaca panas serta membahang, barisan bintang United akhirnya kecundang di tangan Asean All Stars menerusi jaringan pemain Myanmar, Muang Maung Lwin pada minit ke-71 pada malam Rabu.

Selepas perlawanan, mereka terus bergegas ke Hong Kong pula untuk melengkapkan misi jelajah Asia dengan kemenangan 3-1.

Musim lalu, tiada magis dilakukan Ruben Amorim yang hadir sebagai ketua jurulatih selepas Erik ten Hag dipecat ketika United di tangga ke-13 Liga Perdana Inggeris (EPL).

Daripada impian mengubah nasib, United akhirnya mencatat rekod terburuk dalam 50 tahun apabila menamatkan kempen di tangga ke-15 liga.

Lebih malang, United gagal beraksi di Eropah selepas tewas 0-1 di tangan Spurs di final Liga Europa, tetapi Amorim masih boleh dimaafkan dengan alasan membimbing pemain peninggalan ten Hag.

Tambahan pula, pemain berkenaan dikatakan kurang sesuai dengan formasi hebatnya, 3-4-3 menyebabkan dia terus melakukan ujikaji demi ujikaji dalam kesebelasan utama.

Musim baharu 2025/26 bermula dengan kehadiran tiga mesin gol, Matheus Cunha, Bryan Mbeumo serta Benjamin Sesko, namun Amorim dilihat belum menjumpai kesebelasan impiannya dan terus melakukan ujikaji.

Akhirnya, keaiban besar berlaku apabila United disingkirkan kelab Liga Dua (divisyen keempat di England), Grimsby Town di pusingan kedua Piala Liga, awal pagi Khamis lalu iaitu 12-11 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2.

Ia adalah satu lagi rekod negatif dilakar Amorim dan ‘dosa’ yang tidak boleh dimaafkan atau dilupakan dengan mudah.

Sama seperti kekalahan 0-7 United di tangan Liverpool di bawah kendalian ten Hag pada 6 Mac 2023, yang dianggap sebagai ‘jenayah’ terhadap penyokong setianya.

Justeru, jika United terus tidak bermaya dan tewas di tangan pendatang baharu EPL, Burnley di Old Trafford malam ini, jangka hayat Amorim bersama Red Devils diramal semakin singkat sama ada dipecat atau dia sendiri berundur secara terhormat.

Ada desakan supaya Amorim tidak terlalu mempertahankan formasi 3-4-3 yang dikatakan kurang sesuai di EPL, sebaliknya lebih fleksibel mengikut kesesuaian lawan serta situasi perlawanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top