am@hmetro.com.my
Georgetown: Akibat bimbang didakwa terbabit penipuan dalam talian, penuntut doktor falsafah (PhD) sebuah universiti hilang simpanan hampir RM850,000 diperdaya sindiket Phone Scam.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata, mangsa membabitkan lelaki warganegara China berusia 29 tahun itu.
Katanya, dalam laporan mangsa mendakwa menerima panggilan telefon daripada lelaki warga negara sama yang memperkenalkan diri sebagai pegawai Biro Keselamatan Awam Shanghai pada 4 Ogos lalu, memaklumkan ada bungkusan mengandungi kad pengenalan, kad kredit serta buku cek menggunakan nama mangsa ditahan Polis Shanghai.
“Bungkusan itu didakwa dihantar dari Malaysia ke China. Panggilan telefon mangsa seterusnya disambung kepada seorang lagi individu yang menyamar sebagai pegawai Biro Keselamatan Awam Hong An, negara berkenaan.
“Suspek memaklumkan bahawa akaun bank mangsa turut disyaki terbabit dengan aktiviti penipuan dalam talian di China,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Azizee berkata, suspek kemudian mengarahkan mangsa membuat pemindahan wang ke beberapa akaun bank dan e-wallet yang diberi kononnya bagi tujuan siasatan.
“Sepanjang tempoh 6 hingga 26 Ogos lalu, mangsa sudah membuat 30 transaksi pindahan wang berjumlah RM847,843.62 ke 11 akaun bank tempatan serta tiga akaun mata wang kripto yang berlainan.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu selepas memaklumkan perkara itu kepada rakan sekelas dan membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut kelmarin (28 Ogos),” katanya.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Azizee turut menasihati orang ramai agar berhati-hati dengan panggilan telefon mencurigakan dan tidak mudah terpedaya dengan jerat sindiket.
© New Straits Times Press (M) Bhd




