am@hmetro.com.my
Sepang: Nyanyi lagu Negara Ku dan kibarkan Jalur Gemilang sambil dibawa pusing kampung menaiki gerabak pengangkut tandan kelapa sawit.
Itu antara semangat Hari Kemerdekaan dipamerkan hampir 30 kanak-kanak Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Tanjung Sepat, di sini, yang menyertai konvoi berkenaan pagi tadi.
Ternyata semangat kemerdekaan itu turut ditunjukkan masyarakat suku kaum Orang Asli Mah Meri yang mendiami kawasan itu sejak lebih 100 tahun lalu.
Bukti jelas dapat dilihat apabila deretan Jalur Gemilang dipasang di kawasan kediaman penduduk, selain penganjuran sambutan Hari Kebangsaan 2025 hari ini.
Sambutan itu turut dimeriahkan dengan kehadiran Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu yang turut menyalurkan sumbangan Projek Mesra Rakyat (PMR) membabitkan pembinaan pagar dan kelengkapan kerusi meja di tadika itu.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Sepang dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) itu mendapat sambutan meriah daripada penduduk.
Ketua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli Bukit Bangkong, Marin Mungai, 51, berkata, penduduk bergotong-royong untuk menjayakan sambutan termasuk mengadakan jamuan, mengibarkan Jalur Gemilang dan membakar bunga api pada sebelah malam.
“Program konvoi dan sambutan ini pertama kali diadakan pada waktu siang dan kehadiran penduduk sangat menggalakkan. Ia juga mendedahkan golongan muda terhadap semangat patriotik,” katanya.
Sementara itu, Aiman Athirah berkata, program berkenaan membuktikan kerajaan sentiasa dekat dengan masyarakat Orang Asli melalui pelbagai inisiatif termasuk penyaluran bantuan.
Beliau berkata, sebanyak RM45,000 disalurkan di bawah PMR untuk membina pagar serta menyediakan kerusi dan meja bagi keselesaan murid tadika.
© New Straits Times Press (M) Bhd



