'Adeq' ungguli 200m untuk emas kedua peribadi

'Adeq' ungguli 200m untuk emas kedua peribadi

sukan@hmetro.com.my

Kangar: Ratu pecut negara, Zaidatul Husniah Zulkifli sekali lagi membuktikan bahawa dia adalah jaguh dalam acara riben biru apabila menguasai acara 200 meter (m) dalam Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2025 yang berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra, di sini, hari ini.

Atlet berusia 32 tahun yang mewakili Kedah itu mudah menjuarai acara berkenaan dengan mencatatkan masa rasmi 24.57 saat (s) dan mengenepikan saingan yang diberikan atlet remaja berusia 16 tahun, Siti Norjahera Beliamor dari Sabah yang mendapat tempat kedua dan atlet Negeri Sembilan, Adriana Shahryll Nizam yang merangkul gangsa.

Zaidatul Husniah yang lebih mesra dipanggil Adeq berkata, dia sudah lama tidak menyertai acara 200m dan melihat penyertaan sebagai satu usaha untuk mencatatkan masa peribadi yang lebih baik dalam acara berkenaan.

“Sudah tentu saya gembira dengan dengan emas kedua ini selepas 100m semalam dan saya pun sudah lama tidak lari dalam acara 200m.

“Ini adalah kejohanan untuk saya padamkan masa peribadi saya untuk lebih baik dalam acara 200m ini dan catatan 24.57s ini adalah baik selepas sekian lama saya tidak berlari,” katanya.

Katanya, walaupun masa yang dicatatkan itu tidaklah begitu memberangsangkan namun ia tetap memberi perangsang kepadanya untuk terus membaiki catatan masa yang direkodkan itu.

“Saya melihat saingan diberikan oleh pelari lari terutama pelari remaja (Siti Norjahera Beliamor) dari Sabah sebagai satu pendedahan buat atlet berkenaan bersaing dengan saya di peringkat kebangsaan seperti ini sebagai satu pendedahan yang baik.

“Ini juga mampu memberikan pengalaman yang berguna kepada peserta itu untuk berlatih dengan lebih lagi dan saya juga gembira dapat membantu mereka untuk meningkatkan prestasi mereka di masa hadapan dalam melakukan masa peribadi yang lebih baik lagi,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top