Chelsea jinakkan Fulham

Chelsea jinakkan Fulham

London: Chelsea meraih kemenangan kedua berturut-turut dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas menewaskan Fulham 2-0 pada derbi London Barat di Stamford Bridge, malam tadi.

Gol pertama skuad The Blues hadir menerusi Joao Pedro yang menanduk kemas sepakan penjuru Enzo Fernandez pada penghujung babak pertama, sekali gus meledak gol kelimanya dalam lima perlawanan kompetitif terakhir.

Tuan rumah kemudian menambah jaringan pada minit ke-50 selepas percubaan Trevoh Chalobah terkena tangan Ryan Sessegnon dalam kotak penalti.

Fernandez yang mengambil sepakan mudah menyempurnakan peluang untuk menggandakan kelebihan.

Bagi Fulham, kekalahan itu menamatkan rekod tanpa kalah selepas sebelum ini mencatat keputusan seri 1-1 menentang Brighton dan Manchester United.

Ia juga menjadi perlawanan ketiga berturut-turut mereka bolos menerusi penalti di EPL musim ini.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top