Barcelona: Berita baik buat Barcelona apabila tonggak tengah muda, Gavi disahkan semakin pulih daripada kecederaan lutut dan dijangka kembali beraksi selepas tamat rehat antarabangsa, kata pengendali pasukan, Hansi Flick.
Pemain berusia 21 tahun itu mengalami kecederaan pada lutut kanan ketika sesi latihan Jumaat lalu, selepas diturunkan dalam dua aksi awal La Liga musim ini.
“Perancangan kami adalah untuk Gavi kembali pada perlawanan menentang Valencia (14 September). Dia sudah lebih baik hari ini berbanding semalam dan kami positif dengan proses pemulihannya,” kata Flick menjelang aksi menentang Rayo Vallecano esok.
Gavi sebelum ini pernah berehat panjang 11 bulan akibat kecederaan ACL pada lutut kanan dan kembali beraksi Oktober lalu, dengan mencatat 26 penampilan liga dalam musim kejuaraan Barca.
Persekutuan Bolasepak Sepanyol (RFEF) turut mengesahkan pemain itu tidak akan menyertai kem latihan skuad kebangsaan untuk aksi kelayakan Piala Dunia menentang Bulgaria dan Turkiye minggu depan.
Sementara itu, Flick menegaskan Fermin Lopez kekal bersama pasukan meskipun dikaitkan dengan perpindahan.
“Fermin pemain hebat. Dia menjaringkan gol, melakukan bantuan jaringan dan hatinya sentiasa bersama Barca. Saya sudah bercakap dengannya dan saya percaya dia akan kekal. Saya akan lebih lega apabila jendela perpindahan ditutup,” kata jurulatih dari Jerman itu.
Barcelona kini memburu kemenangan ketiga berturut-turut apabila melawat Rayo Vallecano, lawan yang kali terakhir menewaskan mereka dalam La Liga pada 2023.
Mengulas undian Liga Juara-Juara, Flick mengakui cabaran getir menanti apabila Barca diundi bersama Paris Saint Germain, Chelsea dan Newcastle United.
“Bagi kelab seperti Barca, matlamat kami jelas, mahu menjuarai Liga Juara-Juara. Ia pertandingan paling berprestij,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




