Pernah 'tenggelam' seketika

Pernah 'tenggelam' seketika

syafil.syazwan@hmetro.com.my

SIRI 1

Nama Blues Gang bukanlah asing di sini. Kumpulan yang ditubuhkan pada 1974 ini sudah lebih lima dekad mengisi ruang seni dengan karya yang kini dianggap klasik.

Namun, perjalanan band blues yang dianggotai Ito Mohd (penyanyi), Tok Ghani (keyboard), Julian Mokhtar (gitar) dan dua anggotanya yang sudah meninggal dunia, Jim Mandasamy (bass) serta Shaik Karim (dram) tidak pernah mudah.

Ada ketikanya mereka berada di puncak, malah menjadi kumpulan arus perdana paling laris pada awal 80-an sebaris dengan band rock legenda, Sweet Charity.

Tentu ada yang masih ingat dengan Konsert Raksasa Blues Gang & Sweet Charity pada 1984. Malah, mereka melakukannya sekali lagi pada 2011 menerusi Konsert Dua Raksasa Blues Gang & Sweet Charity di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.

Ada juga detik getir apabila lagu mereka seolah-olah ‘dibekukan’ daripada siaran radio dan nama mereka pernah tenggelam dalam keadaan penuh misteri.

Mengimbau situasi itu, Ito ketika ditemui berkata, pengalaman itu berlaku selepas dia terbabit dalam arus politik negara, khususnya sewaktu era reformasi pada 1998.

Ito atau nama sebenarnya Mohd Arif Kendut ketika itu turut terbabit dalam perhimpunan yang menuntut perubahan.

Namun, pembabitannya itu memberi kesan besar terhadap kerjaya muzik Blues Gang.

“Sebenarnya kalau kita imbas balik, Blues Gang pernah berada dalam arus muzik perdana untuk tempoh yang lama. Dari tahun 1986 sehinggalah ke awal 2000, lagu kami dimainkan di mana-mana.

“Boleh dikatakan Blues Gang sendiri adalah band ‘mainstream’ pada waktu itu. Namun, selepas 1998, keadaan mula berubah.

“Apabila saya terbabit dengan gerakan reformasi, tiba-tiba saja lagu kami sudah jarang kedengaran di stesen radio. Dari situlah bermulanya episod ‘cold storage’ (dibekukan),” katanya.

Bagi Ito, istilah ‘cold storage’ bukan sekadar kiasan. Ia benar-benar berlaku apabila karya mereka tidak lagi dipromosikan di saluran arus perdana.

Stesen radio yang sebelum ini menjadi platform utama untuk memperkenalkan lagu baharu seakan-akan berhenti memainkan lagu Blues Gang.

Akibatnya, nama mereka semakin kurang disebut, dan generasi muda ketika itu mungkin hanya mengenali kumpulan lain yang lebih menonjol.

“Kalau ditanya bagaimana saya tahu lagu kami sudah ‘dibekukan’, jawapannya mudah. Saya tahu melalui royalti.

“Sebelum ini jumlah royalti agak konsisten. Tetapi selepas tahun 1998, ia jatuh mendadak. Itu jelas menunjukkan lagu kami sudah tidak dimainkan lagi.

“Bayangkan, sebuah kumpulan yang ada begitu banyak hit seperti Apo Nak Dikato, Khatulistiwa, Oh! Mama Saya Mahu Kahwin, Cinta Oh Cinta, Mak Siti dan Ibu serta Malaya Blues, tiba-tiba saja sepi. Itu bukan perkara kecil,” katanya.

Ito mengakui, ia satu pengalaman perit buat mereka. Namun pada masa sama, ia menjadi bukti betapa kuatnya pengaruh politik terhadap industri hiburan tempatan.

Apa yang berlaku agak mengejutkan kerana Blues Gang bukan kumpulan biasa. Mereka antara artis yang berjaya memperkenalkan album berbahasa Inggeris, Anytime, Anyday pada 1979 yang juga album sulung mereka.

Album itu menampilkan identiti mereka sebagai band blues tulen, sekali gus membezakan mereka dengan banyak kumpulan rock dan pop lain ketika itu.

Bukan itu saja, Blues Gang turut pernah muncul di layar perak menerusi filem Kembara Seniman Jalanan arahan Nasir Jani pada 1986, sebuah karya yang cukup kontroversi.

Filem itu menampilkan sudut pandang kritikal terhadap industri muzik dan sistem sosial negara. Maka, pembabitan mereka dalam projek seperti itu sudah pun menunjukkan bahawa Blues Gang bukan sekadar mencari populariti, tetapi juga berani menyuarakan pandangan.

Oleh itu, apabila lagu mereka tiba-tiba hilang dari siaran radio, peminat setia mula tertanya-tanya. Namun, bagi generasi baharu ketika itu, mereka mungkin tidak menyedari kewujudan karya hebat Blues Gang kecuali jika menggali semula pita kaset atau cakera padat lama.

Apabila lagu tidak dimainkan di radio, kesannya bukan saja kepada pendapatan semasa, tetapi juga kepada legasi. Bagi sesebuah kumpulan muzik, kesinambungan generasi peminat sangat penting.

Lagu perlu terus diputarkan agar ia dapat dikenali oleh pendengar baharu. Apabila Blues Gang seolah-olah ‘disenyapkan’, generasi muda mungkin lebih akrab dengan kumpulan lain seperti Search, Wings, Lefthanded atau Ella.

“Kalau orang tanya, kenapa Blues Gang tidak kedengaran selepas tahun 2000? Jawapannya bukan kerana kami berhenti berkarya. Kami tetap aktif, tetap buat persembahan, malah ada lagu baharu.

“Cuma radio tidak memainkan karya kami. Itu yang orang tak nampak. Kita tidak boleh salahkan peminat kerana mereka hanya dengar apa yang disiarkan,” katanya.

Walaupun begitu, Blues Gang masih mempunyai kelompok peminat yang setia.

Menurut Ito, ada kalanya mereka mendapat sokongan daripada generasi baharu yang secara tidak sengaja mendengar lagu mereka.

Malah ada juga anak muda yang tampil menjadi pemuzik pelapis kepada Blues Gang.

“Kami masih ada kesinambungan. Contohnya, seorang anggota pelapis kami baru berusia 30-an. Malah anak kepada Tok Ghani sendiri ada yang boleh bermain bass.

“Walaupun masih di bangku sekolah, mereka sudah ada bakat. Jadi saya yakin, legasi ini tidak akan mati. Kalau bukan dengan nama Blues Gang sekalipun, sekurang-kurangnya muzik blues itu akan terus hidup,” katanya.

ESOK : Bagaimana lahirnya Apo Nak Dikato.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top