
Toni kini ditahan untuk siasatan lanjut. Agensi
BOGOR – Gara-gara takut dimarahi isteri selepas menggadaikan motosikal, seorang lelaki di Bogor, Jawa Barat sanggup mereka cerita kononnya dia menjadi mangsa samun.
Lelaki berkenaan yang dikenali sebagai Toni (TN), sebelum itu tular di media sosial selepas mendakwa diserang empat lelaki bermotosikal di Jalan Raya Galuga, Cibungbulang, Sabtu lalu.
Dalam rakaman video, Toni mendakwa dompet dan motosikalnya dirampas.
“Saya lalu, kemudian ada dua motosikal datang dari belakang. Saya lari minta tolong, tapi tak ada yang tolong. Mereka ambil dompet dan motosikal saya,” katanya.
Namun, hasil siasatan polis mendapati kisah tersebut hanyalah rekaan.
“Dia mengaku membuat cerita palsu kerana motosikal sudah digadai dan takut dimarahi isterinya,” kata Ketua Polis Cibungbulang, Komisioner Heri Hermawan baru-baru ini.
Polis mengesahkan kes rompakan yang tular itu tidak pernah berlaku dan ia hanya helah Toni untuk menutup tindakan sebenarnya. – Agensi



