'Saya lost count'

'Saya lost count'

mahaizura@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Masih segar dalam ingatan Luthfil Hadi Mujib Ahmad apabila insiden melucukan semasa sambutan Hari Kebangsaan 20 tahun lalu, kini kembali menggamit memori selepas video lamanya dimuat naik semula di media sosial.

Menceritakan detik itu, Luthfil Hadi, 27, berkata, peristiwa lucu itu berlaku semasa usianya tujuh tahun ketika membuat persembahan sekolah rendah sempena acara sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya, Putrajaya pada 2005.

Katanya, insiden itu berlaku apabila dia terlupa kiraan ketika melaungkan ‘merdeka’ di pentas utama yang menampilkan Yang di-Pertuan Agong, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail, Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta barisan menteri Kabinet.

“Saya bersekolah di Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Yak Chee dan terpilih antara kanak-kanak untuk membuat persembahan kerana bersuara lantang.

“Pada awalnya, saya hanya fokus ke lantai pentas untuk hilangkan gemuruh melihat Agong, PM dan menteri tetapi bila sampai hujung laungan, saya terpandang ke atas pentas dan terus gugup, sampai lost count (hilang kiraan asal).

“Perkataan ‘merdeka’ sepatutnya dilaungkan pada kiraan ketujuh, tetapi masa itu saya jadi keliru sama ada sudah masuk ketujuh atau terlebih kelapan. Disebabkan gemuruh, saya terus terpotong dan masuk ke laungan Daulat Tuanku!,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Luthfil Hadi mengulas mengenai videonya yang tular di media sosial selepas dimuat naik semula di Instagram RTM sebelum isterinya memuat naik kembali video itu di TikTok, lima hari lalu.

Mengulas lanjut, pengarah agensi pemasaran media sosial itu berkata, video berkenaan sebelum ini hanya disiarkan dalam keratan akhbar namun selepas sekian lama mencari dia tidak menyangka versi asal akhirnya dimuat naik semula RTM tahun ini.

“Orang pertama yang beritahu saya ialah adik. Bila tengok balik, memang rasa gembira dan kelakar dapat lihat reaksi saya waktu kecil,” katanya.

Ditanya sama ada dia mahu membuat kemunculan semula pada sambutan Hari Kebangsaan akan datang, Luthfil Hadi tidak menolak jika diberi peluang.

“Kalau ada rezeki, teringin nak buat comeback (kemunculan semula) tetapi kali ini biarlah saya buat laungan sempurna, insya-Allah,” katanya.

Katanya, peristiwa 20 tahun lalu itu kenangan paling manis dalam hidupnya, apatah lagi momen itu muncul kembali ketika dia sedang bangkit membina semula perniagaan selepas melalui kegagalan.

“Video itu jadi peringatan besar buat saya, ketidaksempurnaan dan kegagalan bukan kekalahan.

“Sebaliknya ia memori dan pembelajaran bermakna untuk masa depan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top