Aksi TUDM gegar langit Putrajaya

Aksi TUDM gegar langit Putrajaya

am@hmetro.com.my

Putrajaya: Deruman enjin jet menggamatkan ruang udara Dataran Putrajaya pagi ini apabila Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengetuai pertunjukan udara sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025.

Aksi paling mencuri tumpuan ialah kemunculan Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, yang mengemudi sendiri pesawat pejuang Sukhoi SU-30MKM bercorak Jalur Gemilang.

Kehadirannya di kokpit disambut tepukan gemuruh penonton, simbol kepimpinan dan semangat patriotisme warga TUDM.

Pertunjukan udara itu menampilkan enam pesawat Sukhoi SU-30MKM dengan sorotan utama aksi “bomb burst” yang memukau, selain disokong dua pesawat Hawk 208 yang memperlihatkan kelincahan dan keupayaan tempur TUDM.

Kehebatan persembahan turut diserikan lintas hormat pesawat angkut C130H Hercules, A400M Atlas dan CN235, memperlihatkan keupayaan logistik dan operasi tempur udara negara.

Persembahan aset udara kemudiannya disusuli dengan formasi helikopter EC 725 TUDM, diikuti HOM AW139 milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), MD530G dan AW109 Pasukan Udara Tentera Darat, AW139 Polis Diraja Malaysia, AS365N Dauphin Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), serta AW109 Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Gabungan semua aset ini melambangkan keutuhan kerjasama agensi keselamatan dan penguatkuasaan negara dalam mempertahankan kedaulatan tanah air.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top