
Eze bakal menjadi sandaran Arteta berdepan Liverpool kendalian Arne Slot di Anfield, Ahad ini. Foto AGENSI
PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta yakin pemain baharu, Eberechi Eze mampu memberi impak pada penampilan sulungnya ketika The Gunners bertandang ke Anfield menentang Liverpool, Ahad ini.
Arsenal berdepan ujian getir apabila kehilangan beberapa tonggak utama termasuk Bukayo Saka yang mengalami kecederaan hamstring ketika menewaskan Leeds minggu lalu. Arteta bagaimanapun optimis bintang England itu dapat kembali beraksi selepas tempoh rehat antarabangsa.
Selain Saka, The Gunners turut kehilangan Kai Havertz yang baru menjalani pembedahan lutut dan dijangka terpaksa berehat beberapa minggu. Martin Odegaard dan Leandro Trossard pula diragui kesediaannya menjelang pertembungan menentang juara bertahan itu.
Odegaard, kapten Arsenal, sebelum ini dipanggil menyertai skuad Norway bagi aksi kelayakan Piala Dunia, namun masih belum menjalani latihan penuh sejak mengalami kecederaan bahu ketika membelasah Leeds 5-0.
Di sebalik krisis kecederaan itu, Arteta percaya Eze yang berhijrah dari Crystal Palace dengan nilai sehingga £67.5 juta (RM385 juta) hujung minggu lalu mempunyai kualiti untuk menyerlah dalam aksi berprofil tinggi.
Pemain tengah menyerang itu pernah meledak gol kemenangan di Anfield pada April 2024 dan menjaringkan gol dalam final Piala FA menentang Manchester City, Mei lalu.
“Saya fikir dia jenis pemain yang gemar beraksi dalam situasi besar seperti ini. Apabila dia mula bermain, kita akan lihat bagaimana pasukan memberi tindak balas dan hubungan yang terjalin daripada penglibatannya.
“Saya yakin dengan pengalamannya di liga, dia boleh memberikan sesuatu yang berbeza dan tidak dijangka. Itu sebab utama kami membawanya ke sini, untuk mencipta detik yang boleh mengubah keputusan perlawanan,” kata Arteta.
LIGA PERDANA INGGERIS
AHAD (31 OGOS)
Brighton lwn Manchester City, 9.30 malam
Nottingham Forest lwn West Ham United, 9.30 malam
Liverpool lwn Arsenal, 11 malam
ISNIN (1 SEPTEMBER)
Aston Villa lwn Crystal Palace, 11.30 malam


