DEKAD ini menyaksikan pelbagai demonstrasi bersejarah yang memberi impak besar, bukan sekadar dari jumlah peserta, tetapi juga dari segi perubahan politik dan sosial.
Isu seperti ketidakadilan, korupsi, reformasi, dan hak asasi mencetuskan gelombang gelora rakyat di seluruh dunia. Berikut ialah senarai 10 negara yang merekodkan insiden demonstrasi paling dahsyat.
1. Indonesia (2025)
Pada akhir Ogos, jutaan rakyat Indonesia turun ke jalan membantah kenaikan gaji ahli Dewan Perwakilan Rakyat (DPR), pemotongan subsidi dan kenaikan cukai dan kelemahan ekonomi negara.
Kemarahan memuncak selepas kematian seorang penghantar, Affan Kurniawan, 21, dirempuh kenderaan polis. Ia mencetuskan rusuhan di Jakarta dan beberapa kota utama. Demonstrasi ini memaksa kerajaan mempertimbangkan semula dasar subsidi dan mengubah mekanisme gaji ahli politik walaupun ekonomi negara kekal bergolak.
2. Bangladesh (2024)
Pembunuhan beramai-ramai Julai 2024 menjadi titik hitam Bangladesh apabila protes mahasiswa terhadap sistem kuota pekerjaan kerajaan bertukar ganas.

Lebih 400 orang dilaporkan terbunuh, ribuan cedera dan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Sheikh Hasina tumbang kerana gelombang kebangkitan rakyat. Negara kini ditadbir kerajaan interim yang dipimpin oleh Dr Muhammad Yunus.
3. Chile (2019)
Protes besar tercetus akibat kenaikan tambang metro, namun isu itu berkembang menjadi tuntutan keadilan sosial dan ekonomi.

Lebih sejuta rakyat berarak, menyebabkan kerajaan mengisytiharkan darurat. Hasilnya, Santiago memulakan proses merangka Perlembagaan baharu untuk menangani jurang sosial yang berakar umbi.
4. Perancis (2023)
Protes pencen terbesar sejak Mei 1968 berlaku apabila kerajaan pimpinan Presiden Emmanuel Macron menaikkan umur persaraan daripada 62 ke 64 tahun. Demonstrasi berbulan-bulan ini melumpuhkan sektor pengangkutan dan perkhidmatan awam, memaksa kerajaan mempertahankan dasar sambil menawarkan konsesi sosial.

5. Iraq (2019)
Gerakan protes antikerajaan menentang rasuah, pengangguran dan pengaruh asing di Baghdad mengorbankan lebih 600 nyawa. Tekanan rakyat memaksa Perdana Menteri, Adel Abdul Mahdi meletak jawatan, menandakan kebangkitan generasi muda Iraq menuntut reformasi.

6. Lubnan (2019)
Gerakan ‘You Stink’ bermula kerana krisis sampah, namun berkembang menjadi protes besar terhadap rasuah dan ekonomi yang merosot. Protes ini menjatuhkan kerajaan Saad Hariri dan membuka mata dunia terhadap kegagalan sistem politik sektarian Lubnan.

7. Thailand (2020)
Protes mahasiswa 2020 menuntut reformasi monarki dan demokrasi yang lebih telus mengejutkan Asia Tenggara. Gelombang kebangkitan rakyat itu membawa kesedaran global terhadap hak asasi dan kebebasan politik di Thailand.

8. Hong Kong (2019)
Protes menolak rang undang-undang (RUU) ekstradisi bertukar menjadi gerakan prodemokrasi terbesar sejak penyerahan Hong Kong kepada China. Lebih dua juta peserta protes turun ke jalan, mencetuskan krisis diplomatik global dan pembatalan RUU tersebut.

9. Senegal (2024)
Krisis politik tercetus selepas pemimpin pembangkang Ousmane Sonko dipenjarakan, mencetuskan protes besar yang meragut puluhan nyawa. Tekanan rakyat memaksa kerajaan mengadakan pilihan raya awal, mengubah landskap politik negara Afrika Barat itu.

10. Amerika Syarikat (2020)
Gerakan Black Lives Matter selepas pembunuhan lelaki kulit hitam, George Floyd mencetuskan protes mega di seluruh AS dan dunia. Ia mencetuskan reformasi polis di beberapa negeri dan meningkatkan kesedaran terhadap isu perkauman. – Foto: AFP/Agensi




