sukan@hmetro.com.my
Georgetown: Pengendali Kelantan The Real Warriors (TRW), E Elavarasan menyifatkan kejayaan mengutip tiga mata selepas menundukkan Penang FC 1-0 pada aksi Liga Super malam tadi amat melegakan pasukan selepas mencatat dua keputusan seri dan satu kekalahan dalam tiga perlawanan sebelum ini.
Jurulatih berusia 63 tahun itu berkata, anak buahnya menunjukkan disiplin tinggi dan ssmangat luar biasa selain turut memuji ketangkasan penjaga gawang, Damyan Valeriy yang cemerlang menafikan beberapa percubaan berbahaya tuan rumah.
“Mana-mana pun bila kita main ‘away’ kalau dapat bawa balik tiga mata memang bagus untuk pasukan. Saya lihat secara keseluruhan Penang juga bermain dengan baik dan ada peluang menyamakan kedudukan.
“Tetapi penjaga gol kita begitu cemerlang menyelamatkan percubaan pemain lawan untuk menjaringkan gol,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.
Elavarasan secara peribadi turut berpendapat skuad Harimau Kumbang sebenarnya berhak mengutip sekurang-kurangnya satu mata berdasarkan peluang-peluang yang dimiliki mereka terutama pada saat-saat akhir perlawanan.
Tambahnya, TRW sendiri mempunyai beberapa peluang keemasan menokok kelebihan gol pasukan untuk meletakkan pasukannya pada kedudukan lebih selesa pada separuh masa kedua tetapi tidak berjaya disempurnakan dengan baik.
Mengulas persiapan saingan Piala FA menentang Kuala Lumpur City FC, Elavarasan berhasrat memberi ruang kepada skuad bimbingannya untuk menikmati kemenangan mereka sebelum kembali fokus merangka strategi menjelang aksi timbal balik di gelanggang lawan pada 14 September depan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




