am@hmetro.my
Kuala Lumpur: Penyanyi lagu Casablanca, Naufal Azrin, 26, memilih Hari Kebangsaan untuk menamatkan zaman bujang bersama wanita pilihannya, Fatin Farhanah Fauzi.
Menerusi perkongsian video di Instagram, pasangan itu selamat diijabkabulkan pagi tadi dalam majlis serba sederhana yang dipercayai berlangsung di kediaman pengantin perempuan di Tumpat, Kelantan.
Naufal atau nama sebenarnya Ahmad Naufal Azrin, sah bergelar suami dengan tiga kali lafaz, selain menyerahkan mas kahwin berjumlah RM7,000 serta seutas gelang emas buat isterinya yang juga seorang guru.
Terdahulu, pasangan ini mengikat tali pertunangan pada Februari lalu selepas menjalin hubungan cinta selama tujuh tahun.
“Sudah lama kami kenal dan saya percaya sudah tiba masanya untuk kami melangkah ke fasa seterusnya.
“Kami berkenalan melalui Instagram dan Alhamdulillah, doa kami untuk disatukan termakbul,” katanya kepada BH Online selepas majlis pertunangan, awal tahun ini.
© New Straits Times Press (M) Bhd



