Gangguan Hari Kebangsaan di Perak: Polis siasat penyebaran maklumat palsu

Gangguan Hari Kebangsaan di Perak: Polis siasat penyebaran maklumat palsu

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Polis menjalankan siasatan berhubung penularan maklumat tidak benar menerusi hantaran di Facebook mengenai wanita tempatan yang ditahan ketika sambutan rasmi Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak di Ipoh, hari ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, siasatan terhadap penularan maklumat itu dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Pihak polis menyangkal maklumat tular wanita berbangsa Cina ditahan, sebaliknya tangkapan telah dibuat ke atas perempuan warganegara tempatan berbangsa Melayu berusia 41 tahun.

“Justeru, PDRM memberi amaran bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak dengan sengaja membuat atau menyebarkan kenyataan yang tidak benar dan menimbulkan kegentaran awam serta mengganggu keharmonian masyarakat di Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Terdahulu, polis sudah menahan wanita selepas dia bertindak menaiki pentas utama ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri Perak, pagi tadi.

Kejadian berlaku pada 8.20 pagi ketika lagu kebesaran negeri Perak sedang berkumandang.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin dilaporkan berkata, suspek masuk melalui bahagian tepi pentas dan mendekati Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, sebelum berjaya ditahan oleh anggota keselamatan yang sedang bertugas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top