Penunggang motosikal lari lepas langgar kereta dicari polis

Penunggang motosikal lari lepas langgar kereta dicari polis

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang penunggang motosikal dicari polis selepas terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Jalan Kuchai Lama di sini, Jumaat lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, laporan mengenai kemalangan itu dibuat seorang lelaki terbabit berusia 31 tahun pada 2.20 pagi 30 Ogos lalu.

“Pengadu mendakwa kemalangan berlaku pada 11.30 malam 29 Ogos apabila sebuah motosikal yang ditunggang seorang individu melanggar bahagian hadapan keretanya.

Beliau berkata, semakan mendapati motosikal terbabit didaftarkan atas nama seorang lelaki warga asing berusia 29 tahun.

“Sehingga kini, tiada laporan polis dibuat oleh pemilik motosikal terbabit dan polis kini dalam tindakan untuk mengesan pemilik motosikal,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Sebelum ini tular di media sosial, pemilik video memohon saksi kejadian yang mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) berhubung kemalangan di Kuchai Lama itu.

Dalam rakaman berdurasi 18 saat itu, sebuah motosikal didakwa melanggar lampu isyarat sebelum merempuh kereta dinaiki seorang wanita hamil.

Rakaman berkenaan juga menunjukkan penunggang motosikal terbabit berlari meninggalkan lokasi sejurus kemalangan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top