Kerani putih mata, lebih RM600,000 lesap diperdaya 'Phone Scam'

Kerani putih mata, lebih RM600,000 lesap diperdaya 'Phone Scam'

am@hmetro.com.my

Bukit Mertajam: Seorang kerani di sebuah pejabat insurans di sini kerugian RM601,850 selepas diperdaya sindiket ‘Phone Scam’ yang mendakwa dirinya terlibat dalam jenayah pengubahan wang haram.

Semuanya bermula apabila wanita 61 tahun itu menerima panggilan telefon daripada individu menyamar pegawai bank.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, suspek memberitahu ada individu lain menggunakan kad kredit atas nama suspek.

“Mangsa menafikan perkara itu sebelum panggilannya disambungkan kepada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.

“Pegawai polis itu meminta butiran diri mangsa untuk disemak dan selepas itu memberitahu mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram.

“Suspek meminta semua maklumat akaun mangsa yang masih aktif, kemudian mengarahkan membuat pemindahan wang ke beberapa akaun bank yang diberikan kononnya untuk tujuan siasatan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, mangsa membuat 14 transaksi pindahan wang berjumlah RM601,850 dari 14 Ogos hingga 28 Ogos ke empat akaun bank berbeza sepertimana yang diarahkan suspek.

“Mangsa akhirnya sedar ditipu setelah memaklumkan perkara ini kepada anak perempuannya.

“Mangsa) tampil membuat laporan polis semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah bagi membolehkan siasatan dijalankan,” katanya kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top