Hincapie sertai Arsenal, Arteta dapat senjata baharu pertahanan

Hincapie sertai Arsenal, Arteta dapat senjata baharu pertahanan

London: Arsenal menandatangani pertahanan Ecuador, Piero Hincapie secara pinjaman semusim daripada Bayer Leverkusen, semalam.

Hincapie berpeluang kekal secara tetap di Arsenal pada penghujung musim ini dengan nilai perpindahan £45 juta (RM266 juta).

Pemain berusia 23 tahun itu membuat lebih 100 penampilan bersama Leverkusen sejak menyertai kelab Jerman berkenaan pada 2021, selain memainkan peranan penting ketika membantu mereka menjuarai Bundesliga musim 2023-24.

Pengurus The Gunners, Mikel Arteta percaya Hincapie mampu memberikan kepelbagaian di barisan pertahanan.

“Kami amat gembira mengalu-alukan Piero Hincapie ke kelab ini. Dia memiliki kelebihan fizikal, dengan kepelbagaian serta fleksibiliti taktikal yang memberi kami lebih banyak pilihan di bahagian pertahanan.

“Dia seorang berperwatakan besar, dengan gabungan baik antara anak muda dan kematangan. Kehadirannya pasti menjadikan skuad kami lebih kuat dan kompetitif sepanjang musim ini. Kami mengalu-alukan Piero dan keluarganya ke Arsenal,” kata Arteta.

Hincapie menjadi pemain kelapan yang dibawa masuk Arteta sejak berakhirnya musim lalu selepas ketibaan Viktor Gyokeres, Martin Zubimendi, Christian Norgaard, Noni Madueke, Kepa Arrizabalaga, Cristhian Mosquera dan Eberechi Eze.

Hincapie sudah membuat 46 penampilan bersama Ecuador, termasuk dalam skuad Piala Dunia 2022 serta Copa America pada 2021 dan 2024.

Dia memilih menyarung jersi nombor lima di Arsenal dan akan melapor diri selepas selesai tugasan antarabangsa bersama Ecuador.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top