ferzalfie@hmetro.com.my
Sepang: Kemenangan bersejarah Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pada Kejohanan Dunia di Paris bukan sahaja mencipta laungan merdeka di gelanggang, malah turut mengundang linangan air mata kegembiraan keluarga masing-masing sebaik mereka pulang ke tanah air pagi tadi.
Bagi ibu Tang Jie, Chen Keat Siew, kejayaan anaknya itu adalah hadiah paling manis sempena Hari Kemerdekaan selepas pernah meraih kejuaraan Terbuka Korea pada tarikh sama tahun lalu.
“Memang gembira, memang teruja. Ini istimewa sebab jatuh pula pada Hari Merdeka. Kalau dulu Terbuka Korea, sekarang dia sudah juara dunia. Itu bukan penghujung, lepas ini dia kena kerja lebih keras,” katanya yang jelas sebak ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Keat Siew turut mendedahkan minat Tang Jie dalam badminton bermula sejak kecil apabila dibawa menonton kejohanan oleh adiknya.
“Dia mula umur enam atau tujuh tahun. Balik dari tengok kejohanan, dia cakap mahu belajar main. Mula-mula seminggu dua kali latihan, lepas itu dia sendiri minta lebih. Dari situlah dia bermula,” katanya.
Sementara itu, kedua-dua ibu bapa Ee Wei, Toh Kok Leong dan Jane Yeoh, turut mengakui sebak sebaik melihat anak mereka menjuarai Kejohanan Dunia buat julung kali, apatah lagi tatkala lagu Negaraku berkumandang di Paris.
“Memang emosional. Kali pertama dapat gelaran besar pada Hari Merdeka, seluruh rakyat Malaysia bangga. Kami di rumah pun menangis sama, lebih bangga bila dia balik dalam keadaan sihat tanpa cedera,” kata Kok Leong.
Jane pula berkongsi sisi lain anaknya yang sejak kecil cukup aktif dan lasak, malah dikenali guru sekolah kerana tidak pernah duduk diam.
“Dia memang nakal tapi sangat disiplin. Kalau suruh pakai skirt sekolah, balik-balik dia sudah tukar kemeja T dan seluar pendek. Dari kecil sudah nampak jiwa sukan dalam dirinya,” katanya sambil ketawa kecil.
Mengimbas perjalanan berliku yang pernah dilalui anaknya termasuk ketika sakit, Kok Leong menegaskan ia menjadi titik kekuatan buat Ee Wei.
“Dia seorang yang sangat berdisiplin dan bekerja keras. Walaupun sakit dulu, dia lawan juga. Semua pengorbanan itu akhirnya berbaloi hari ini,” katanya.
Pasangan itu merancang meraikan kemenangan anak mereka dengan makan malam sederhana bersama keluarga, selain bercadang mengatur pertemuan bersama sanak-saudara di Melaka dan Kuala Lumpur.
Mengenai harapan masa depan, kedua-dua keluarga sepakat mahu anak mereka terus memburu kejayaan lebih besar termasuk tiket ke Sukan Olimpik 2028.
“Perjalanan masih panjang. Kami harap mereka dapat lebih banyak gelaran untuk Malaysia. Olimpik sudah tentu jadi sasaran,” kata Kok Leong.
© New Straits Times Press (M) Bhd




