'Beza pendapat hal biasa tapi tak fikir keluar band' – Floor 88

'Beza pendapat hal biasa tapi tak fikir keluar band' – Floor 88

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Kumpulan Floor 88 bertekad tiada ahlinya akan keluar meninggalkan band itu walaupun masing-masing ada kalanya berbalah sesama sendiri kerana tidak sama pendapat.

Pemain keyboardnya, Eric Fuzi berkata apabila ada banyak kepala dalam satu kumpulan, perselisihan pendapat adalah perkara biasa dan tidak perlu ambil serius.

“Kami dalam Floor 88 ini, kalau gaduh dan berselisih pendapat memang selalu juga berlaku. Tapi, yang ‘best’ itu bergaduh macam mana pun kami semua tak fikirlah sampai mahu keluar daripada band.

“Lagi pula, rugi juga kalau tinggalkan band kerana kita akan kehilangan salah satu punca pendapatan. Tapi Alhamdulillah, sehingga kini nilai setia kawan kami semua dalam Floor 88 sebenarnya kuat.

“Contohlah, jika saya bergaduh dengan Falique kerana tidak sama pendapat. Namun, kami berdua tetap masih boleh main game Mobile Legend (ML) bersama. Tak ada pun nak gaduh lama-lama.

“Pernah juga saya keluar daripada ‘group WhatsApp’ Floor 88 kononnya merajuk, tapi lepas perasaan reda sendiri, saya masuk balik dan kawan-kawan pun okay,” katanya kepada Harian Metro.

Ditemui baru-baru ini, Eric berkata pertelingkahan antara mereka berenam akan berlaku setiap kali menghasilkan lagu baharu, termasuk ketika mencari idea untuk membuat muzik video.

Floor 88 yang pernah popular dengan lagu seperti Zalikha, Hutang dan banyak lagi, kini muncul dengan lagu baharu iaitu F hasil ciptaan komposer, Zai Hamzah dan lirik ditulis Achoi Floor 88 serta Hemo.

Selain Eric, Floor 88 dianggotai Achoi sebagai pemain gitar, Falique (bass), Ayie Elham (vokalis), Muhammad Akram (pemain dram) dan Amir (gitar kedua).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top