firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Benarkah isteri Faisal Halim, Nur Syazwani Mizuana Shahril memfailkan permohonan cerai?
Persoalan itu timbul selepas terdapatnya sebutan kes di papan info Mahkamah Rendah Syariah Klang terteranya nama Faisal dan isterinya hari ini.
Berdasarkan maklumat di papan info itu, kes kedua-duanya disebut pada jam 2.30 petang hari ini di mahkamah terbabit.
Arena Metro yang melakukan tinjauan berjaya mendapatkan maklumat daripada sumber yang boleh dipercayai apabila mengesahkan pemain Selangor FC itu berada di mahkamah petang tadi.
Faisal yang kini menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya, difahamkan meminta kebenaran Ketua Jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski bagi menghadiri sebutan kes itu.
Sementara itu, semakan di platform Instagram Faisal menyaksikan gambar Syazwani sudah dipadam.
Tindakan Faisal memadamkan gambar dengan isterinya turut menimbulkan persoalan dikalangan peminat di ruangan komen Instagram Faisal.
“Mana ‘wife’,” tulis Missismiilmi dan, “sesuatu”, kata lopmeiertuck.
Bagaimanapun, sehingga kini Faisal masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung perkara terbabit.
Difahamkan, kedua-dua pasangan itu berkahwin pada 9 Mac 2019 lalu dan hasil perkahwinan selama enam tahun itu dikurniakan seorang anak lelaki.
Pada 5 Mei tahun lalu, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian anggota badan selepas disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di Petaling Jaya dan terpaksa dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.
Seterusnya pada 25 Mei, Selangor FC menerusi kenyataan mengesahkan pemain sayapnya itu dibenarkan keluar dari sebuah hospital swasta di sini selepas menjalani empat pembedahan susulan insiden berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd



