Himpunan aman solidariti Indonesia, bunga mawar simbolik perjuangan

Himpunan aman solidariti Indonesia, bunga mawar simbolik perjuangan

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Perhimpunan aman ‘Seruan Aksi Solidariti Indonesia’ di hadapan Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur malam ini, menyaksikan bunga mawar merah diletakkan di pintu masuk sebagai simbolik penghargaan kepada perjuangan rakyat negara itu.

Himpunan anjuran Liga Mahasiswa Malaysia dan Mandiri itu bermula kira-kira 8 malam dengan kehadiran puluhan orang membawa mesej solidariti melalui bunga mawar, plakad dan bacaan puisi.

Peserta turut mengangkat plakad bertulis ‘Bebas Segera Rakyat Indonesia’, ‘Demonstrasi Bukan Jenayah, serta ‘Malaysia Bersama Rakyat Indonesia’ sebagai simbol sokongan terhadap perjuangan menuntut kebebasan.

Gambar korban jiwa termasuk Allahyarham Affan Kurniawan yang menjadi mangsa ketika menyertai demonstrasi di tanah airnya turut dibawa dan diletakkan di lokasi sama.

Tindakan itu dianggap sebagai simbol keberanian dan pengorbanan mereka yang gugur demi menegakkan hak rakyat.

Dalam himpunan malam ini, turut kelihatan aktivis sosial, Hishamuddin Rais.

Dalam pada itu, polis mengawal ketat di kawasan sekitar kedutaan bagi memastikan keadaan terkawal dan lalu lintas tidak terganggu sepanjang perhimpunan, selain tiada insiden tidak diingini berlaku.

Sehingga jam 9 malam, himpunan berlangsung dalam keadaan aman tanpa sebarang kejadian melampau.

Media sebelum ini melaporkan, tunjuk perasaan di Jakarta merebak hingga ke bandar lain di Indonesia dengan beberapa bangunan parlimen wilayah dibakar.

Protes yang bermula pada 25 Ogos merebak ke beberapa bandar besar lain termasuk Cirebon, Brebes, Solo, Kediri, Bandung, Malang dan Makassar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top