asrizal.aris@hmetro.com.my
Setia Alam: Bersempena sambutan Hari Kebangsaan 2025, Ikatan Guru Muslim Malaysia (i-Guru) menganjurkan Kejohanan Terbuka Boling Piala Presiden i-Guru di Wangsa Bowl Setia City Mall, di sini, semalam.
Program itu diadakan bagi meraikan hari kemerdekaan negara yang ke-68 sekaligus menyemai rasa cinta kepada negara dan membangun jiwa patriotik dikalangan warga guru.
Sebanyak 25 pasukan menyertai kejohanan itu terdiri daripada warga guru pelbagai bangsa, penyertaan sekolah di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), sekolah swasta, kesatuan dan persatuan guru serta pengamal media.
Presiden i-Guru, Mohd Azizee Hasan, berkata, program seumpama itu adalah wadah warga pendidik bertukar pandangan disamping terapi minda daripada kesibukan tugasan di sekolah.
“Apatah lagi dunia pendidikan yang mencabar memerlukan juga penekanan kepada kesejahteraan mental seperti program anjuran i-Guru ini.
“Generasi muda khususnya murid dan pelajar perlu diisi dengan pengisian ilmu serta nilai (adab) untuk berdepan cabaran masa kini.
“Tanpa ilmu dan adab, maka tiada makna sebuah kemerdekaan,” katanya sebelum menyampaikan hadiah kepada pemenang dalam program berkenaan.
Menurutnya, i-Guru merancang untuk memperluaskan skop kejohanan boling di peringkat negeri dengan penyertaan yang lebih menggalakkan serta membabitkan rakan media.
Katanya, usaha itu sempena menghargai peranan media sebagai perantara dalam menyampaikan maklumat kepada masyarakat khususnya informasi berkaitan i-Guru.
Pada kejohanan itu, pasukan Harian Metro menerusi Metro Rangers dinobatkan sebagai juara keseluruhan sekali gus membawa pulang Piala Presiden, wang tunai dan cenderamata.
© New Straits Times Press (M) Bhd




