am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Mengejutkan apabila kajian mendapati 82 peratus mangsa penipuan dalam talian adalah individu berpendidikan tinggi, manakala 78 peratus terdiri daripada golongan milenial.
Menurut Laporan Keadaan Scam Malaysia 2025 oleh Gogolook dan Global Anti-Scam Alliance (GASA), sebanyak 85 peratus responden pernah berdepan cubaan penipuan dalam talian manakala 73 peratus daripadanya menjadi mangsa dengan kerugian purata RM4,844.70 seorang.
Ketua Pegawai Operasi Gogolook, Manwoo Joo, berkata, walaupun majoriti orang dewasa yakin mampu mengenal pasti penipuan dengan 14 peratus mendakwa sentiasa boleh mengesannya, hakikatnya 82 peratus mangsa adalah individu berpendidikan tinggi.
“Antara kes penipuan paling tinggi dilaporkan ialah penipuan pelaburan, manakala panggilan telefon serta aplikasi mesej seperti WhatsApp, Telegram dan Facebook menjadi saluran utama.
“Penipuan kedua paling banyak ialah penipuan beli-belah dalam talian, diikuti penipuan penyamaran,” katanya.
Katanya, dapatan ini berdasarkan tinjauan dalam talian membabitkan 1,000 dewasa seluruh negara yang dijalankan antara 26 Februari hingga 14 Mac 2025 sebagai sebahagian daripada 2025 GASA State of Scams in Malaysia Report.
Menurutnya, kanak-kanak juga tidak terkecuali apabila 21 peratus ibu bapa mengakui anak mereka berusia antara tujuh hingga 17 tahun pernah menjadi mangsa.
Katanya, ini menunjukkan kesedaran sahaja tidak mencukupi kerana ramai masih terjebak, sekali gus memerlukan alat pencegahan lebih pintar dan platform yang mampu mengesan lebih awal.
“Aplikasi yang terbaik untuk mengesan penipuan ini adalah aplikasi Whoscall, iaitu satu-satunya aplikasi anti-scam di Malaysia yang diluluskan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Dilengkapi teknologi kecerdasan buatan (AI), ia mampu mengesan panggilan serta mesej mencurigakan selain menganalisis pautan dan imej, termasuk tangkapan skrin.
“Teknologi ini amat penting untuk melindungi rakyat Malaysia daripada terus menjadi mangsa scam dalam talian,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




