Azharina Azhar Nafi Dakwaan Daniesh Suffian ‘Anak Ikan’, Dedah Hubungan Sebenar

Azharina Azhar Nafi Dakwaan Daniesh Suffian ‘Anak Ikan’, Dedah Hubungan Sebenar

Penyanyi bervokal mantap, Azharina Azhar, 40, menjernihkan spekulasi apabila menjelaskan hubungannya dengan penyanyi muda, Daniesh Suffian, 27, hanyalah sekadar dua pupu dan bukannya ‘anak ikan’ seperti yang didakwa segelintir netizen di media sosial.

Menurut pelantun Rawan itu, pertalian mereka terjalin melalui sebelah bapa memandangkan datuknya dan datuk Daniesh merupakan adik-beradik.

“Saya harap selepas ini orang tidak lagi salah faham. Daniesh bukan ‘anak ikan’, dia adalah sepupu saya. Kami memang ada pertalian darah di sebelah ayah.

“Walaupun di media sosial ramai yang menggelarnya ‘anak ikan’ atau ada yang bergurau panggil ‘anak ikan emas’, saya maafkan mereka kerana mungkin netizen tidak tahu.

“Ada juga komen kata kami seperti ibu dan anak. Saya hanya tergelak membaca komen terbabit, semua saya anggap biasa saja,” katanya.

Mengulas mengenai tuduhan kononnya dia mempunyai hubungan istimewa dengan Daniesh, Azharina menegaskan dia sendiri tidak tahu dari mana datangnya cerita berkenaan, namun memilih untuk tidak ambil hati.

“Saya kasihan dengan orang yang mencetuskan cerita itu, tapi dalam masa yang sama saya ucap terima kasih. Mungkin ada hikmah di sebalik fitnah itu,” ujarnya.

Berkongsi tentang kolaborasinya dengan Daniesh menerusi single terbaharu berjudul Gunung Kinabalu, pelantun lagu Tsunami Kasih itu berkata keputusannya menampilkan penyanyi itu dalam lagu duet mereka adalah sebagai tanda sokongan terhadap bakat saudaranya itu.

“Saya rasa sebagai dua pupu dan juga macam kakak kepada Daniesh, tanggungjawab saya adalah bantu memperkenalkan bakatnya. Itu sebab saya bawa dia menyanyi bersama dalam lagu Gunung Kinabalu ini.

“Apa yang utama, suara Daniesh memang sedap dan boleh ‘masuk’ dengan suara saya. Banyak penyanyi cuba buat duet tapi tak semua suara boleh serasi. Tapi bila kami nyanyi sama, vokal kami boleh berpadu dengan baik, sama ada lagu baharu atau ‘cover’ di TikTok,” jelasnya lagi.

Scroll to Top