'Ada dron ikut' – Zizi Kirana

'Ada dron ikut' – Zizi Kirana

georgie@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Penyanyi dan aktivis, Zizi Kirana, 40, yang kini terbabit misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla ke Gaza turut berdepan detik membimbangkan serta perubahan rancangan atas faktor keselamatan.

Zizi atau nama sebenarnya Nur Fazelah Mad Tahil mendedahkan, flotila bantuan disertainya dipercayai dikesan dron pengintip, sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan semua peserta dan anak kapal misi terbabit.

Bagaimanapun, dron terbabit tidak dikesan secara terus di atas kapal yang dinaikinya, tetapi berada sangat hampir dengan kapal lain dalam konvoi kemanusiaan itu.

“Seperti mana dilaporkan Instagram Global Sumud Flotilla, yang mana ada kapal-kapal Global Sumud Flotilla ini yang sudah didatangi oleh dron pengintip.

“Bukan di kapal kami tapi di kapal sahabat-sahabat lain dan kita memang berjalan, orang kata berlayar secara kumpulan. Jadi, semestinya mereka berada di berdekatan juga di sini,” katanya.

Susulan kehadiran dron itu, semua peserta dan anak kapal segera diarahkan mengambil langkah berjaga-jaga dengan memakai jaket keselamatan sebagai persediaan menghadapi sebarang kemungkinan.

“Selepas mendapat maklumat itu, kami semua diminta untuk memakai jaket keselamatan dan memang semua kapal menyedari mengenai kehadiran dron pengintip itu,” kata isteri kepada pelakon, Yusuf Bahrin itu.

Namun, situasi cemas itu tidak berpanjangan dan dron itu dilaporkan beredar tidak lama kemudian.

“Selepas beberapa minit, alhamdulillah dron itu pun sudah pergi. Sebab dia tahu yang kita tahu dia datang. Alhamdulillah kita semua okay dekat atas kapal ni,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Zizi memaklumkan mengenai perubahan rancangan pelayaran. Ia terpaksa dibuat bagi menjaga privasi dan keselamatan semua yang terbabit dalam misi Sumud Nusantara.

“Kami sekarang berada di sebuah pulau terdekat dan ikutkan berhenti untuk buat hal-hal yang perlu. Tapi disebabkan tempat terbabit terlalu ramai orang awam, kami dapati ada beberapa kamera dan media.

“Jadi, kami terpaksa berpindah tempat demi menjaga privasi dan keselamatan kru-kru produksi lain. Insya-Allah, Allah lebih tahu apa yang terbaik. Insya-Allah, doakan,” katanya memohon doa ramai.

Zizi adalah antara aktivis menyertai Misi Global Sumud Flotilla, sebuah usaha bersejarah menghimpunkan rakyat dunia dalam usaha memecahkan sekatan haram rejim Israel terhadap Gaza.

Selain Zizi, pelakon, Ardell Aryana turut berada dalam misi berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top