Inkues: Pakar Patologi tolak kemungkinan Zara Qairina ditolak, diserang

Inkues: Pakar Patologi tolak kemungkinan Zara Qairina ditolak, diserang

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Pakar Patologi Hospital Queen Elizabeth (HQE), Dr Jessie Hiu menolak kemungkinan Allahyarham Zara Qairina Mahathir ditolak atau diserang hingga jatuh dari tingkat tiga asramanya sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan pada awal pagi, 16 Julai lalu.

Beliau yang menyambung keterangannya pada hari kedua inkues kematian arwah Zara di Mahkamah Koroner, di sini, hari ini, menolak kedua-dua andaian itu selepas mengambil kira hasil pemeriksaan di lokasi arwah Zara Qairina ditemui tidak sedarkan diri pada masa itu.

Menjawab pertanyaan Timbalan Ketua Bahagian Pendakwaan II, Datuk Badiuszaman Ahmad selaku Pegawai Pengendali inkues kematian arwah Zara Qairina, Dr Jessie berkata, besar kemungkinan Allahyarham melompat atau menghayunkan diri dengan bergayut pada jeriji besi tergantung dari atas tembok koridor asrama.

Pegawai Pengendali: Berdasarkan keterangan bertulis di perenggan 32, boleh Dr terangkan mengenai tidak mungkin jatuh secara tidak sengaja atau ditolak?
Dr Jessie: Berdasarkan pengukuran yang dijalankan di lokasi, tidak mungkin sebab palang besi di tembok koridor asrama begitu tinggi, dia tidak mungkin jatuh sebab palang itu tinggi. Jika ditolak, palang besi akan menghalang daripada jatuh.
Pegawai Pengendali: Apa kemungkinan terbaik?
Dr Jessie: Seperti yang saya terangkan dan demonstrasi dibuat di lokasi, dia (arwah) mungkin berdiri di atas tembok konkrit dan sama ada melompat atau menghayunkan diri dengan bergayut dari jeriji tergantung.
Pegawai Pengendali: Boleh saya katakan tiada serangan dan punca kematian adalah jatuh dari tempat tinggi?
Dr Jessie: Berdasarkan pemeriksaan lokasi, ya.
Pegawai Pengendali: Boleh sahkan si mati melompat atau menghayunkan diri?
Dr Jessie: Berdasarkan maklumat mengenai posisi dan lokasi si mati pada 16 Julai, dia sama ada melompat atau memghayunkan diri.

Pada prosiding hari ini, Dr Jessie turut menjelaskan beberapa gambar yang diambil ketika pemeriksaan lokasi dan demonstrasi yang dibuat bersama pegawai perubatan dari HQE bagi mendapatkan gambaran mengenai bagaimana arwah Zara jatuh.

Demonstrasi itu juga bagi mendapatkan gambaran sama ada arwah ketika hari kejadian boleh jatuh secara tidak sengaja atau ditolak dari belakang.

Katanya, pemeriksaan juga bagi mengenal pasti bagaimana arwah jatuh, berdasarkan kecederaan dan keadaan tubuh arwah ketika ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan pada awal pagi 16 Julai lalu.

Terdahulu, beliau berkata pemeriksaan di lokasi dibuat pada 2 Ogos lalu dengan dibantu pegawai perubatan dari HQE bersama tiga anggota polis dan beberapa kakitangan sekolah.

Ketika prosiding di Mahkamah Koroner, hari ini, Dr Jessie turut menunjukkan bagaimana arwah Zara Qairina mungkin jatuh dengan kaki terlebih dahulu mencecah tanah sebelum badannya rebah dalam keadaan terbaring dengan wajah menghadap ke atas.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top