“Fail Cerai Bukan Sebab Faisal Halim Tak Ada Duit  & Tak Handsome” – Peguam Isteri Perjelas Punca Cerai

“Fail Cerai Bukan Sebab Faisal Halim Tak Ada Duit  & Tak Handsome” – Peguam Isteri Perjelas Punca Cerai

Susulan punca perceraian antara pemain bola sepak Selangor FC, Faisal Halim dan isterinya, Nur Syazwani Mizuana Shahril mencetuskan pelbagai spekulasi,  peguam yang mewakili wanita itu, Roshdan Sujak Rafie tampil menjelaskan situasi sebenar mengapa anak guamnya memfailkan perceraian.

Kata Roshdan, dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan anak guamnya memfailkan perceraian disebabkan masalah kewangan dan keadaan fizikal Faisal Halim sudah tidak sama seperti dulu adalah tidak betul.

Ini kerana, pihaknya difahamkan punca perceraian antara Faisal dan Nur Syazwani Mizuana dipercayai akibat tiada persefahaman dan sudah tidak tinggal sebumbung sejak sebulan lalu.

Dalam pada itu, Roshdan memaklumkan, keadaan Nur Syazwani kini baik.

“Saya ada baca komen netizen mengatakan anak guam fail cerai kerana Faisal tiada duit dan sudah tidak handsome (kacak), semua ini tidak benar.

“Saya dimaklumkan mereka sudah tiada persefahaman,” katanya.

Status hak penjagaan anak

Ditanya mengenai hak penjagaan anak tunggal mereka, Roshdan berkongsi, perkara itu tidak dibincangkan lagi berikutan mahu menyelesaikan terlebih dulu mengenai pengesahan lafaz talak di luar mahkamah yang dilakukan Faisal sebelum ini.

Bagaimanapun, peguam Faisal, Datuk Akberdin Abdul Kader turut mengesahkan punca perceraian kedua-duanya adalah disebabkan tiada persefahaman.

“Ya, itu yang diberitahu sebab tiada persefahaman,” kongsinya.

Menurutnya, Faisal mendakwa pernah melafazkan cerai pada 15 Jun lalu dan rujuk kembali sehari kemudian.

“Mereka tidak mendaftarkan cerai dan rujuk itu, maka prosiding pengesahan lafaz talak luar mahkamah itu perlu dilakukan terlebih dulu,” jelasnya.

Dalam prosiding pada Rabu, Hakim Syarie Mohd Hairuddin Ab Rahim telah menetapkan 16 Oktober ini untuk sebutan semula kes.

Untuk rekod, Faisal atau lebih dikenali sebagai Mickey berkahwin dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019.

Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan seorang anak lelaki, Khalish Aryan.

Sumber: Harian Metro

Scroll to Top