am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Penganjur Konsert Inteam X Hijjaz : Konsert Nur Kasih terpaksa akur dengan ketiadaan kumpulan nasyid popular, Inteam yang menarik diri pada saat akhir kerana terikat dengan kontrak bersama pihak lain.
Pengarah Urusan 10 Pro Event Management, Kamrol Isam Mohd berkata, pihaknya tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak atas apa yang berlaku itu.
“Sebenarnya, kita baru dimaklumkan pihak Inteam kelmarin mereka terikat dengan kontrak yang sudah ditandatangani dengan pihak lain.
“Dari kena saman lebih baik mereka tarik diri. Pihak kami juga tidak mahu ada apa-apa masalah dengan mana-mana artis termasuk kumpulan Inteam dan hormati kehendak (keputusan) mereka,” katanya ketika ditemui pada sidang media Konsert Cinta Rasul yang berlangsung di sebuah hotel di sini, semalam.
Konsert Cinta Rasul kini akan dijayakan kumpulan Hijjaz dengan penampilan khas kumpulan UNIC dan Rabbani.
“Memang pada mulanya sedikit kecewa bila Inteam menarik diri pada saat akhir, tapi ia terubat bila kami dapat gabungan baru untuk konsert ini.
“Saya juga berterima kasih pada team kerana walau dalam masa singkat, pihak kami dapat persetujuan daripada UNIC dan Rabbani untuk bergabung bersama Hijjaz dalam konsert ini,” katanya.
Menurut Kamrol, Konsert Cinta Rasul bakal membawa penonton menelusuri perjalanan cinta terhadap Rasulullah SAW melalui lagu-lagu yang menyentuh jiwa.
“Kami mensasarkan seramai 4,000 penonton akan hadir memeriahkan konsert nanti. Tiket untuk menonton konsert ini sudah mula dijual pada orang ramai menerusi platform rasmi jam 6 petang semalam,” katanya.
Konsert ini akan berlangsung di Stadium Tertutup Gong Badak, Kuala Nerus, Terengganu jam 8.45 malam pada 3 Oktober nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd




