am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Tujuh lelaki warga China masing-masing didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas tuduhan menipu dengan membuat aplikasi pelaburan kripto menyasarkan warga Vietnam, bulan lalu.
Majistret Atifah Hazimah Wahab menjatuhkan hukuman itu selepas semua tertuduh, Tan Wei Wei, 35; Xu Laiwu, 37; Ren Zilong, 25; Li Jiang, 31; Huang Yaolin, 27; Li Libo, 25, dan Chen Hui, 31, mengaku bersalah sebaik pertuduhan dibacakan terhadap mereka dalam Bahasa Mandarin.
Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa sebagai pihak satu pakat jahat jenayah menipu dengan membuat aplikasi pelaburan kripto yang menyasarkan warga Vietnam dengan niat memperdaya dan mendorong mangsa menyerahkan wang bagi tujuan penipuan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Forest City 5, Pulau 1, Forest City, Tanjung Kupang, Gelang Patah, Iskandar Puteri di sini, jam 1.45 tengah hari, 25 Ogos lalu.
Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 120B(2) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Semua tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah memberikan denda yang ringan, namun Timbalan Pendakwa Raya, Nik Noratini Nik Azman meminta mahkamah memberikan hukuman setimpal sebagai pengajaran dan mengambil kira keseriusan kesalahan dilakukan.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda itu bagi setiap seorang tertuduh.
Mengikut fakta kes, polis menjalankan risikan terhadap aktiviti kumpulan berkenaan sebelum serbuan dibuat yang mana menemui tujuh lelaki warga China itu selain peralatan seperti telefon pintar, komputer riba, router dan modem WiFi.
Difahamkan, siasatan pihak berkuasa turut mendapati premis berkenaan dijadikan pusat ‘scammer’ membabitkan penipuan pelaburan kripto dalam talian yang menyasarkan rakyat Vietnam.
© New Straits Times Press (M) Bhd




