“Lima Tahun Sudah Kekasihku” – Suami Titip Ucapan Romantis Buat Mira Filzah

“Lima Tahun Sudah Kekasihku” – Suami Titip Ucapan Romantis Buat Mira Filzah

“Nur Amirah, kau bukan sekadar isteri..kau adalah sahabatku yang paling setia, peneman dalam setiap langkah, dan redha dengan takdirNya menjadikan kita saling melengkapi”.

Itu antara bait kata yang di titipkan oleh suami kepada pelakon popular Mira Filzah iaitu Wan Emir Astar menerusi Instagram miliknya.

Menyifatkan Mira sebagai anugerah terindah  dalam hidupnya, Emir atau nama Wan Emir Astar Wan Mohammad Khairil Anuar meluahkan rasa syukur atas perjalanan rumah tangga mereka yang penuh suka duka.

Menurutnya, setiap hari bersama Mira adalah nikmat terindah, malah cinta mereka bukan sekadar kata-kata, sebaliknya satu perjalanan yang mengajar erti pengorbanan, kesabaran dan syukur.

“Lima tahun sudah, kekasihku @mfmirafilzah. Lima tahun penuh tawa, doa, dan cerita. Dari detik pertama kau hadir di jiwa, ke saat dilafazkan akad untuk menjagamu, hingga ke hari ini, setiap hela nafas perjalanan kita adalah anugerah yang tak ternilai.

“Nur Amirah, kau bukan sekadar isteri… kau adalah sahabatku yang paling setia, peneman dalam setiap langkah, dan redha serta takdir-Nya menjadikan kita saling melengkapi. Bersamamu, belajar dan mengenal makna syukur, mengamati erti pengorbanan.

“Dalam setiap senyummu, ku temui ketenangan. Dalam setiap tangismu, ku temui bahgia dan kekuatan. Setiap hari bersamamu adalah nikmat anugerah dari-Nya,” katanya.

Tidak habis disitu, Emir berdoa agar ikatan perkahwinan mereka kekal hingga ke syurga dan sentiasa dalam lindungan Allah SWT.

“Hari ini kita sambut lima tahun, syukur alhamdulillah, tetapi kita berdua tahu… perjalanan kita baru bermula. InsyaAllah, masih banyak lagi yang menanti.

“Impian yang kita kejar, doa yang ingin kita makbulkan, dan memori yang akan kita ukir bersama, membina bekal untuk ke negeri abadi. Semoga Allah sentiasa memelihara kasih sayang kita, melindungi keluarga kita, dan memberkati setiap langkah kita bersama,” kongsinya.

Sekadar info, Mira dan Emir mendirikan rumah tangga pada 3 September 2020.

Hasil perkongsian hidup, pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Wan Khair Amir yang kini berusia tiga tahun.

Scroll to Top