sukan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Di sebalik badai rumah tangga yang sedang melanda, Faisal Halim tetap memperlihatkan jiwa besar apabila turun beraksi bersama Harimau Malaya yang menewaskan Singapura 2-1 dalam aksi persahabatan Tier 1 di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.
Biarpun hanya diturunkan sebagai pemain gantian pada minit akhir perlawanan separuh masa kedua namun itu sudah cukup membuktikan pemain yang dihimpit masalah rumah tangga itu cukup profesional apabila mewakili negara.
Sorakan penyokong yang memanggil namanya sebaik sahaja diumumkan masuk ke padang menggambarkan betapa bintang Selangor FC itu tidak pernah bersendirian, malah terus mendapat sokongan padu peminat.
Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski sebelum ini menegaskan isu peribadi itu tidak menjejaskan mentaliti Faisal, malah dia kagum dengan tahap profesionalisme pemain berusia 27 tahun itu yang terus hadir menjalani latihan penuh bersama skuad negara.
Dalam perlawanan itu, Harimau Malaya terlebih dahulu mendahului menerusi jaringan Stuart Wilkin dan Joao Figueiredo turut menyumbat gol kedua Malaysia manakala jaringan Singapura disempurnakan Ilhan Fandi, anak lagenda bola sepak negara jiran itu.
Kehadiran lebih 22,000 penonton di Bukit Jalil malam tadi bukan sahaja meraikan kemenangan skuad negara, tetapi juga seakan-akan menjadi penawar buat Faisal yang sedang melalui detik sukar dalam rumah tangganya.
Apa pun, semangat Faisal untuk terus menyarung jersi kebangsaan dalam keadaan dirinya diuji peribadi menjadi inspirasi, bukti bahawa semangat patriotik tidak mudah goyah meskipun badai melanda kehidupan peribadi.
Terdahulu, isteri pemain terbabit Nur Syazwani Mizuana Shahril sudah memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Klang baru-baru ini.
Untuk rekod, Faisal berkahwin dengan Nur Syazwani pada 9 Mac 2019 dan hasil perkongsian hidup, pasangan itu dikurniakan seorang anak lelaki.
Prosiding yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Klang kelmarin menyaksikan Hakim Syarie, Mohd Hairuddin Ab Rahim menetapkan 16 Oktober ini untuk sebutan semula kes berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




