am@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Kami tahu 15 sahabat daripada kumpulan pertama Global Sumud Flotilla (GSF) kini berdepan pelbagai ujian di atas bot masing-masing selepas memulakan pelayaran dari Barcelona, Sepanyol pada 31 Ogos lalu.
Ada yang terpaksa mencatu air minum kerana bekalan terhad, terputus sumber elektrik, dilanda ribut dan ombak bergelora, selain muntah kerana mabuk laut yang ibarat kemestian.
Berkemungkinan besar, begitu juga situasi kami nanti. Namun, Alhamdulillah, kami kumpulan kedua di Catania, Itali, juga seramai 15 orang, masih kuat semangat dan tidak terfikir pun untuk menarik diri.
Bagaimanapun, dalam semangat membara itu, kami menerima berita kurang enak iaitu tarikh kami mula belayar yang sepatutnya 4 September 2025, ditangguhkan.
Tarikh baru belum ditetapkan. Cuma kami diberitahu penangguhan itu sekurang-kurangnya dua hari.
Antara sebab utama, flotilla atau konvoi kapal dan bot kumpulan pertama dari Barcelona mungkin lewat tiba di perairan Itali disebabkan masalah cuaca dan keadaan laut bergelora.
Mengikut perancangan, flotilla dari Catania bergabung dengan flotilla dari Barcelona dan Tunisia di satu kawasan sebelum sama-sama bergerak ke perairan Gaza.
Apapun, berita penangguhan ini bukan kejutan. Sejak awal lagi kami diperingatkan misi ini berkait rapat dengan keadaan di laut dan berisiko tinggi.
Pelbagai kemungkinan boleh berlaku. Pergerakan kami mungkin dipercepatkan, ditangguhkan atau dibatalkan. Segalanya mungkin.
Cuma, kami sedikit ralat kerana terpaksa berada dalam mood standby untuk tempoh lebih lama. Kami tidak enjoy menginap lama di hotel kerana kami bukan datang ke Catania untuk bercuti.
Kami mahu cepat belayar dan tiba di perairan Gaza supaya semua perhatian dunia tertumpu pada Gaza. Apabila konvo kami disekat Israel dan kami ditahan, dunia ‘melihat’ kami.
Melihat kami bermakna melihat Gaza. Itu objektif utama GSF. Mahu Gaza diberi perhatian, mahu kerajaan seluruh dunia memberi tekanan kepada Israel dan Amerika Syarikat sehingga akhirnya sekatan ke atas Gaza dihentikan.
Sementara itu di bandar Catania semalam berlangsung perhimpunan aman bagi menyatakan sokongan kepada Palestin dan mengutuk kekejaman Israel.
Sambutan amat hebat. Saya anggarkan lebih 50,000 hadir termasuk wanita tua bertongkat dan kanak-kanak.
Kami turut menyertai mereka dengan berarak hampir lima kilometer dan melaungkan pelbagai kata sokongan kepada Palestin.
Program itu sebahagian aktiviti promosi GSF untuk menyuntik kepekaan dan semangat menyokong Palestin kepada penduduk tempatan.
Diharapkan mereka hadir beramai-ramai memberi sokongan pada hari bot kami mula belayar meninggalkan pelabuhan Catania nanti.
© New Straits Times Press (M) Bhd



