Pecah dominasi lelaki

Pecah dominasi lelaki

nurul_husna@hmetro.com.my

Semangat dan minat ini bagaikan tidak sepadan dengan tubuhnya yang kecil molek.

Wanita berketurunan campuran Bidayuh Cina dari Kuching, Sarawak ini hakikatnya gemar mencari kepuasan menerusi aktiviti sukan pendakian.

Menurut Nancy Nais, 48, keghairahan menawan puncak gunung kini menjadi sebahagian obses kepada dirinya meskipun perlu berkorban wang, masa dan tenaga demi sukan itu.

“Keterujaan setiap kali dapat menawan puncak gunung itu setara dengan minat saya dalam kerjaya sebagai wartawan.

“Aktiviti gunung ini mencabar seperti mana latar belakang kerja mencari berita yang mana menguji ketahanan diri, rasa ingin tahu dan memerlukan keberanian.

“Itu yang saya rasa sepanjang tujuh tahun pembabitan dalam menawan pelbagai puncak gunung termasuklah terbaru di Bali, Indonesia,” katanya.

Dia yang mengenali sukan itu sejak 2018 ketika usia sudah menginjak angka 40-an tidak pula mundur sebaliknya menyahut cabaran mendaki kali pertama apabila mendapat jemputan rakan sekolah menengah dan pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak.

“Langkah awal saya bermula lewat dalam sukan ekstrem iaitu pada usia 40-an yang mana bermula dengan mendaki bukit atau gunung sekitar Kuching, Bau dan Serian.

“Misi penting sebenar hanyalah bermula pada tahun 2022 iaitu ekspedisi Gunung Api di Taman Negara Mulu, Sarawak.

“Ketika itu keadaan fizikal dan mental masih tidak cukup persiapan tetapi masih berjaya harungi sehingga sampai ke puncak. Itu memberi satu kepuasan yang sukar digambarkan.

“Keyakinan daripada misi pertama itu membuatkan saya sanggup terima pelawaan Pegawai Ketua Eksekutif (syarikat penerbitan sebelum ini) untuk mendaki Gunung Kinabalu.

“Seolah-olah saya sudah ‘dipukau’ dengan keindahan atau cabaran pendakian misi daripada gunung sebelum ini membuatkan saya terus sertai aktiviti pendakian Gunung Kinabalu.

“Sebenarnya pembabitan sukan mendaki ini saya lihat sebagai detik refleksi diri termasuk meneroka potensi dalam setiap langkah pendakian yang dilakukan,” katanya.

Menyentuh kapasiti wanita yang terbabit dalam sukan pendakian katanya, sukan itu memiliki ramai pendaki kredibiliti dalam kalangan wanita.

“Pembabitan wanita dalam sukan mendaki gunung termasuklah kelompok lebih ‘otai’ sebenarnya memberi inspirasi untuk sama sertai sukan terbabit.

“Tidak dinafikan segmen sukan lasak banyak didominasi lelaki. Tetapi zaman turut berubah.

“Wanita tidak mahu ketinggalan ‘mewarnai’ sukan ekstrem termasuklah aktiviti mendaki gunung.

“Kualiti wanita zaman sekarang memiliki kekuatan, kebolehan dan kecekalan membuatkan tiada kurangnya berbanding golongan lelaki.

“Saya sendiri dalam ekspedisi menawan puncak kerap bertemu ramai pendaki wanita yang hebat dari serata dunia.

“Mereka ini memiliki kerjaya, menguruskan keluarga dan memiliki tanggungjawab dalam masyarakat masih mempunyai masa untuk memenuhi minat dalam aktiviti mendaki gunung.

“Kisah mereka inilah memberi inspirasi dan saya juga mahu melakukan perkara sama iaitu memberi inspirasi kepada orang lain,” katanya.

Wartawan Dayak Daily itu juga tidak lupa menekankan persiapan antara aspek penting bagi wanita memastikan mereka selamat sampai ke puncak.

“Persediaan adalah kunci untuk sesiapa sahaja terutamanya wanita. Ketahanan dan had diri setiap individu berbeza.

“Mereka perlu menghormatinya dengan melatih badan dan mengatur pemakanan dengan baik. w”Ia antara amalan bermula dengan kecergasan fizikal iaitu melakukan latihan kekuatan, kardio dan latihan fleksibiliti dengan kerap.

“Selain itu, kesediaan mental juga penting kerana setiap gunung punyai cabaran berlainan.

“Mengkaji laluan, cuaca dan rupa bumi sebelum setiap pendakian sangat membantu. Malah, pemeriksaan kesihatan sekali setahun juga perlu untuk menyokong altitud,” katanya.

Nancy berkata, sistem sokongan yang baik sama ada pasukan atau pemandu gunung juga penting dalam sukan terbabit.

“Bagi wanita, keselamatan diri adalah penting terutama ketika mendaki secara solo.

“Saya melakukan lima perjalanan solo di Gunung Kinabalu dan saya tidak pernah berkompromi dengan protokol keselamatan.

“Itulah sebabnya saya hanya menggunakan perkhidmatan pemandu yang dipercayai dan sentiasa memaklumkan kepada seseorang mengenai keberadaan diri,” katanya.

Dia menyatakan hasrat untuk menawan puncak Gunung Kilimanjaro di Africa dan Pergunungan Himalaya di Nepal.

Sejak tiga tahun lalu, Nancy berjaya melakukan 10 kali pendakian Gunung Kinabalu, lima kali puncak Mulu, sekali Gunung Trusmadi, Gunung Sinsing and Gunung Minodtuhan di Sabah.

Dia juga berjaya menawan Gunung Rinjani, Lombok dan Gunung Agung di Bali, Indonesia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top