Rasulullah simbol perpaduan, contoh prinsip keadilan

Rasulullah simbol perpaduan, contoh prinsip keadilan

PETALING JAYA: Nabi Muhammad bukan sahaja memiliki peribadi unggul, malah baginda merupakan simbol perpaduan dan pemimpin dihubungkan dengan Madinat al-Nabi yang sarat dengan nilai.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kepimpinan Rasulullah di Madinah telah meletakkan asas-asas kemadanian seperti martabat insan, prinsip keadilan dan kedaulatan hukum, nilai ilmu dan akhlak serta kemanusiaan berasaskan nilai keagamaan.

Katanya, Madinah mengisyaratkan tamadun kekotaan didasari petunjuk wahyu dan mengakari asas tauhid serta membayangkan aspirasi pembinaan sebagai tapak tamadun yang kemudian memberi kesan besar kepada dunia.

“Sewaktu manusia dahaga tauladan dan contoh budiman, sosok Rasulullah menawarkan wawasan dan aspirasi kemanusiaan yang menyerlahkan suara kejujuran serta kejernihan jiwa terus menjadi panduan.

“Rasulullah bukan sekadar peribadi unggul, baginda juga simbol perpaduan dan pemimpin yang dihubungkan dengan Madinat al-Nabi yang sarat dengan nilai,” katanya dalam Facebook beliau.

Anwar berkata, masyarakat madani atau umat yang berjaya dibentuk Nabi Muhammad di Madinah itu adalah khayra ummah iaitu masyarakat unggul bercirikan iman, nilai kebaikan, bermanfaat kepada kemanusiaan sejagat, beriltizam terhadap tanggungjawab pendaulatan nilai-nilai ma’ruf dan pembasmian gejala-gejala mungkar.

Perdana Menteri kemudian masyarakat untuk membina bangsa dan negara dengan mencontohi keperibadian Rasulullah.

“Sewaktu manusia dahaga tauladan dan contoh budiman, sosok Rasulullah menawarkan wawasan dan aspirasi kemanusiaan yang menyerlahkan suara kejujuran serta kejernihan jiwa terus menjadi panduan. 

“Semoga dengan penghayatan dan kefahaman mendalam mengenai esensi ajaran dan warisan baginda akan terus memandu dan menggerakkan kita semua untuk bekerja lebih kuat, berdisiplin dan optimis terhadap masa depan umat,” katanya.-UTUSAN

Scroll to Top