rnoraina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengemukakan cadangan penambahbaikan tatakelola berhubung sistem serta prosedur Garis Panduan Mesyuarat Jawatankuasa Sumbangan Pembaikan, Pembinaan Masjid dan Madrasah (JKPSM) di Melaka.
Tiga cadangan dikemukakan adalah menambah baik buku garis panduan JKPSM khususnya berkaitan pelaksanaan dan pelaporan kerja yang perlu diseragamkan bagi penerima sumbangan itu serta kaedah pelaporan kewangan penerima sumbangan supaya dana digunakan secara optimum sekali gus mengelak ketirisan.
Manakala cadangan ketiga ialah pengisian jawatan di unit kejuruteraan kerana keanggotaan sedia ada tidak mencukupi disebabkan permohonan sumbangan pembaikan dan pembinaan masjid serta madrasah semakin banyak.
Pengarah SPRM Melaka Datuk Adi Supian Shafie berkata, cadangan itu bertujuan mengamalkan konsep ketelusan dan mampu menutup ruang serta peluang berlakunya jenayah rasuah.
“Cadangan penambahbaikan oleh SPRM Melaka itu disambut baik dan dipersetujui MAIM, selain ia mampu mengelakkan berlaku ketirisan dalam sumbangan dana yang diberikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau pada Rabu mengikut sesi pembentangan dan menandatangani Laporan Penambahbaikan Tatakelola oleh Setiausaha MAIM, Shaifulfazlee Mohamad disaksikan Adi Supian di pejabat MAIM, Melaka.
Cadangan itu berdasarkan maklumat diterima oleh SPRM Melaka pada 28 Januari lalu yang mendapati wujud keperluan penambaikan sistem dan prosedur bagi pelaksanaan kerja baik pulih Madrasah Al-Ikhlas, Taman Telok Mas Melaka daripada wang peruntukan diberikan MAIM sebanyak RM250,000 yang mana tidak dilaksanakan dengan sempurna.
Justeru, SPRM melihat terdapat prosedur longgar berkaitan Buku Garis Panduan JKPSM yang mana perkara itu boleh mendedahkan kepada ruang serta peluang berlakunya penyelewengan dan manipulasi laporan bagi peruntukan sumbangan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




