saifulaffendy@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Atlet wushu negara, Si Shin Peng melakar kejutan apabila menghadiahkan pingat emas pada Kejohanan Dunia di Brasilia, Brazil, hari ini.
Atlet berusia 23 tahun itu yang membuat penampilan sulung di kejohanan berprestij itu, meraih 9.756 mata dalam acara qiangshu (lembing) lelaki.
Kuong Chi Hin dari Macau meraih perak dengan 9.743 mata, manakala wakil Jepun, Araki Motoyoshi sekadar berpuas hati dengan gangsa selepas mengutip 9.740 mata.
Shin Peng yang juga anak jati Melaka, mencatat kejayaan sensasi apabila menghadiahkan emas pertama buat Malaysia di kejohanan dwitahunan itu, yang julung kali berlangsung di benua Amerika Selatan.
“Ini untuk negara yang sedang menyambut Hari Kebangsaan minggu ini. Saya mengharapkan pingat, tetapi tidak sangka boleh muncul juara,” kata Shin Peng yang sebelum ini pernah meraih emas dalam acara qiangshu di Kejohanan Remaja Asia 2019 ketika berusia 17 tahun.
Kejayaan itu cukup bermakna buat Shin Peng yang hampir digugurkan daripada program Podium pada awal tahun ini selepas tiga tahun bersama skuad kebangsaan.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Wushu Malaysia (MWF), Datuk Chong Kim Fatt berkata, beliau gembira melihat Shin Peng membuktikan kemampuannya selepas diberi peluang kedua.
“Majlis Sukan Negara (MSN) tidak menyambung kontraknya dalam program Podium tahun ini kerana tiada pencapaian, namun kami merayu supaya dia diberi peluang setahun lagi.
“Kami gembira kerana Shin Peng sudah menunjukkan kemampuan di peringkat tertinggi. Ada atlet mengambil masa lebih lama untuk menyerlah dan kini kami berharap dia boleh menjadi pengganti bekas juara dunia, Wong Weng Son,” kata Kim Fatt.
Selepas dua hari saingan di Brazil, Malaysia kini mengumpul satu emas, satu perak dan satu gangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




